Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Empat lelaki disyaki cuba menyeludup minyak masak bersubsidi ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah premis di Kampung Pengkalan Datu, Sering di sini.

Mereka yang berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan pada 2 petang semalam oleh penguat kuasa pelbagai agensi termasuk polis dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya merampas 9,350 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dan dua Perodua Myvi, keseluruhannya bernilai RM62,375.

"Operasi digerakkan hasil maklumat dan risikan mengenai penyelewengan minyak masak paket satu kilogram.

"Ketika serbuan, beberapa lelaki diperhati sedang memunggah kotak berisi minyak masak daripada premis ke dalam kereta dan berjaya menahan empat suspek.

"Mereka gagal menunjukkan dokumen berkaitan urus niaga borong atau runcit barang kawalan itu," katanya pada sidang media di Stor Penyimpanan Barang Kes KPDN Kelantan di sini, hari ini.

Menurutnya, bekalan minyak masak itu dipercayai dibawa masuk ke Kelantan dari negeri lain dan kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, pihaknya akan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan dan memberi amaran kepada semua pihak agar tidak terbabit aktiviti sedemikian.

KPDN Kelantan juga akan terus mengadakan Op Tiris bagi mengekang ketirisan subsidi barang keperluan.

BEKALAN minyak yang sukar diperoleh di Kampung Losong di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.
BEKALAN minyak yang sukar diperoleh di Kampung Losong di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:12 PM