Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Perak dan Kedah adalah berbeza kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Bezanya di Kedah itu, kegiatan perlombongan NR-REE berlaku secara haram di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang yang tidak mendapat kelulusan untuk menjalankan aktiviti perlombongan.

"Di Kenering (Perak) tidak melibatkan kawasan hutan simpan dan ada kelulusan yang diberikan untuk projek perintis. Maka ia (perlombongan di Bukit Enggang) telah diambil tindakan oleh pihak penguat kuasa," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai apakah perbezaan perlombongan yang diguna pakai di Negeri Kedah dan Perak sehingga berlakunya insiden penangkapan dan pendakwaan.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, perlombongan NR-REE di Perak juga adalah melalui kerjasama kerajaan negeri itu dan pihak kementerian selain ia telah dimulakan di bawah kerajaan terdahulu.

"SOP (prosedur operasi standard) yang diguna pakai di negeri Perak untuk tujuan pemakaian dan pematuhan pelaksanaan program projek perintis tersebut.

"Projek perintis adalah projek perlombongan yang sah dan telah menerima kelulusan yang perlu untuk membolehkan aktiviti perlombongan dijalankan.

"Kawasan yang dipohon oleh kerajaan negeri Perak itu lebih besar tetapi bila diputuskan untuk dibuat projek perintis, diberi kawasan yang lebih terhad," katanya.

Katanya, kerajaan juga menubuhkan pasukan petugas perlombongan haram dianggotai pelbagai agensi di peringkat Persekutuan dan negeri bagi kawal selia serta penguatkuasaan ke atas perlombongan haram.

NIK Nazmi. FOTO NSTP
NIK Nazmi. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 11:29 AM