Muhamad Sobri Osman (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan usaha sama perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah. FOTO BERNAMA
Muhamad Sobri Osman (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan usaha sama perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah. FOTO BERNAMA
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM4 juta membabitkan kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE) pada Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Muhamad Sobri Osman, 63, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Sobri didakwa meminta suapan bagi dirinya iaitu wang RM4 juta daripada John Abad Pe sebagai dorongan membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan REE melalui suatu memorandum persefaham (MoU) antara MBI Kedah dan syarikat terbabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Central Hotel Hatyai, Songkhla, Thailand pada 20 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Sobri didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suapan wang tunai RM1 juta daripada John Abad Pe melalui Liyana Mamat sebagai dorongan membantu Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan REE melalui MoU antara MBI Kedah dan syarikat terbabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan tempat letak kenderaan Wisma Darul Aman di sini, pada 29 Mei lalu.

Berikutan itu, Muhamad Sobri didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha Rahmat dan Muhammad Asraf Mohamed Thahir, manakala tertuduh diwakili peguam Ibrahim Ismail dan Mohammed Zamri Ibrahim.

Farah kemudiannya meminta mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan berikutan kes terbabit membabitkan isu kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh meminta ikat jamin lebih rendah berikutan Muhamad Sobri kini tidak mempunyai pendapatan tetap kerana tidak lagi bekerja selain perlu menyara isteri dan seorang anak yang masih belajar.

Rohatul kemudiannya membenarkan Muhamad Sobri diikat jamin sebanyak RM100,000 bersama seorang penjamin, menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh 22 Januari 2024 bagi proses serahan dokumen berkaitan kes terbabit.

Muhammad Sobri kemudiannya membayar wang jaminan terbabit di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Julai lalu, media melaporkan seorang pegawai kanan MBI Kedah dan seorang pengarah wanita sebuah syarikat ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Kedah.

Suspek yang direman itu dikatakan terbabit memberikan perlindungan pihak berkuasa tertentu dalam kegiatan perlombongan secara haram sejak 2020 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 12:52 PM