Penduduk menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang dijumpai di ladang kelapa sawit Chin Teck di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Penduduk menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang dijumpai di ladang kelapa sawit Chin Teck di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Penduduk Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera dikejutkan dengan penemuan kesan tapak kaki dipercayai harimau di ladang kelapa sawit Chin Teck, di sini, malam tadi.

Tinjauan mendapati jarak antara tempat penemuan tapak kaki terbabit hanya sejauh 200 meter daripada kawasan penempatan penduduk.

Penduduk, Mohd Nordin Hashim, 39, berkata dia menyedari kewujudan tapak kaki harimau itu pada 8.30 malam semalam.

Menurutnya, kemunculan 'tapak kaki' harimau itu menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung dan pekerja ladang terbabit.

"Dua hari lalu sudah ada penduduk yang melihat kelibat harimau berhampiran kawasan ini.

"Keadaan ini menimbulkan ketakutan kepada penduduk dan bimbang ternakan seperti lembu dan kambing akan menjadi mangsa serangan haiwan liar itu.

"Kami juga bimbang keselamatan penduduk yang adakalanya masuk ke kawasan ladang untuk mencari daun pisang dan melepaskan ternakan mereka," katanya.

Penduduk lain Zamrah Che 0mar, 54, berkata penemuan kesan tapak kaki harimau itu mengejutkan penduduk di kawasan PPMS itu.

"Kini kami hidup dalam ketakutan dan berjaga-jaga, walaupun kesan tapak kaki dijumpai di kawasan ladang, ia sangat dekat dengan perumahan penduduk.

"Dengan kejadian serangan yang berlaku di Kampung Meranto, baru-baru ini, ia lebih membimbangkan penduduk sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua kejadian terserempak harimau belang dan satu serangan terhadap seekor lembu pada bulan ini di sekitar kawasan penempatan penduduk menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, semua kejadian yang dilaporkan berlaku di kawasan Galas dan berhampiran dengan penempatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 2:19 PM