TAPAK harimau yang ditemui di Felda Ulu Tebrau. FOTO Mary Victoria Dass
TAPAK harimau yang ditemui di Felda Ulu Tebrau. FOTO Mary Victoria Dass
BERNAMA

Johor Bahru: Penduduk Felda Ulu Tebrau dekat sini khususnya pekerja ladang dan kebun kelapa sawit dibelenggu ketakutan berikutan ancaman harimau yang masih bebas berkeliaran di kawasan itu.

Seorang penduduk, Mohd Fadzil Mohd Kassim, 56, mendakwa pekerja kebun dan ladang kelapa sawit terpaksa mengehadkan waktu berada di kebun dan ladang kerana bimbang keselamatan mereka.

"Mereka telah dinasihatkan supaya kalau hendak keluar biar beramai-ramai jangan berseorangan... buat masa ini ada had dan batas waktu, kalau dulu kerja sampai petang tetapi sekarang kita hadkan hingga tengah hari sahaja," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Mohd Fadzil berharap haiwan liar itu segera ditangkap kerana sumber pendapatan penduduk terjejas berikutan tidak dapat bekerja seperti biasa.

Ab. Jalil Sahlan, 70, pula berharap tindakan segera dapat dilakukan pihak bertanggungjawab sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan tapak kaki yang ditemui di kebun kelapa sawit di Felda itu adalah tapak kaki harimau dan akan memasang kamera serta perangkap bagi menangkap haiwan itu.

"Kita berharap pihak Perhilitan dapat memasang perangkap dan kamera dengan segera sekali gus bantu penduduk menangani masalah tersebut secepat mungkin," katanya.

Baru-baru ini, tular gambar penemuan beberapa bangkai lembu dan tapak kaki binatang buas dipercayai seekor harimau di ladang kelapa sawit di Felda berkenaan.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Justice for Wildlife Malaysia (JWM) Dr Nor Arlina Amirah Ahmad Ghani, yang terlibat dalam usaha konservasi hidupan liar, ketika dihubungi berkata serangan harimau kerap berlaku pada waktu subuh atau petang dan ada ketikanya tengah hari.

"Mereka yang tinggal di kawasan berdekatan habitat harimau kena sentiasa berwaspada dan jaga ternakan masing-masing. Kalau ternakan sudah dikandangkan pastikan pagar di bahagian bawah kena rendah (sempit) kerana harimau tidak melompat tapi akan menyusup masuk ikut bawah pagar," katanya.

Nor Arlina berkata sekiranya berdepan dengan harimau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak pusing membelakangkan haiwan liar itu, sebaliknya jalan berundur secara perlahan sambil perhatikannya.

"Apabila sudah agak jauh daripada harimau itu, baru lari dan kalau boleh panjat pokok setinggi mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 7:07 PM