S
S
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Dua kejadian terserempak harimau belang dan satu serangan terhadap seekor lembu dalam tempoh lima hari di sekitar kawasan penempatan penduduk menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat di sini.

Dalam kejadian pertama pada Khamis lalu, penduduk Kampung Batu Papan terserempak dengan haiwan liar itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya kira-kira 7 malam disusuli kejadian kedua apabila seekor lembu betina diserang.

Kejadian terbaharu pada 6.40 pagi hari ini, seorang pekebun di Kampung Subong dekat sini, terserempak haiwan liar itu yang sedang melintas jalan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, semua kejadian yang dilaporkan berlaku adalah di kawasan Galas dan berhampiran dengan penempatan penduduk.

Katanya, konflik yang berlaku adalah semakin membimbangkan apabila binatang buas ini semakin 'berani' menghampiri kawasan penempatan penduduk.

"Saya menerima aduan penduduk terserempak harimau belang dalam kejadian pertama di Kampung Batu Papan, serangan terhadap lembu betina di Kampung Kundur dan pagi hari ini di Kampung Subong.

"Sudah pasti ia menjadi kebimbangan kepada masyarakat di kawasan ini tambahan pula dengan dua siri serangan terhadap pekerja ladang baru-baru ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu tampil memberi sebarang kenyataan bagi mengelakkan penduduk terus hidup dalam kerisauan susulan kemunculan haiwan liar terbabit.

"Kita minta pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat segerakan siasatan supaya tidak timbul suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat selain tampil memberikan kenyataan kepada penduduk situasi sebenar yang berlaku.

"Saya juga sudah berbincang dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perhilitan serta penduduk kampung supaya berkerjasama dengan pihak berwajib untuk membuat laporan segera sekiranya terserempak dengan haiwan liar terbabit.

"Penduduk kampung juga diminta tidak mengambil tindakan berani kerana ia membabitkan keselamatan nyawa dan serahkan segalanya kepada pihak berwajib selain sentiasa patuh dengan arahan yang dikeluarkan," katanya.

Semalam media melaporkan, kawasan hutan yang semakin mengecil menjadi punca harimau semakin mengganas sehingga menyerang manusia yang menyebabkan empat individu maut sepanjang tahun ini di sekitar Gua Musang.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, susulan kejadian berkenaan pihaknya sudah memasang kamera dan perangkap bagi mengesan binatang berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan harimau sama yang menyerang kedua-dua mangsa pada pagi kelmarin dan tengah hari semalam masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 3:31 PM