Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: "Mungkin ada yang fikir masih ada tempat yang selamat di Gaza, tetapi hakikatnya tidak ada satu pun tempat yang selamat di sana untuk kami berlindung," luah Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Palestin.

Nurul Ain, 37 yang selamat tiba ke Malaysia pada 14 November lalu bersama suaminya, Mohamed A M Shaar, 33 berkata, dia menyaksikan sendiri serangan misil dan bedilan bertalu-talu tentera Israel.

"Setiap masa kami mendengar bunyi misil bom yang sangat kuat dan kita tidak tahu di mana benda itu akan terjatuh.

"Apabila kami mendengar letupan bom, saya takut sehinggakan masih trauma hingga hari ini dan kanak-kanak di sana apabila mendengar sahaja bunyi bom mereka melaungkan takbir, menunjukkan betapa hebatnya iman mereka" katanya ketika ditemui selepas majlis kesyukuran dan sesi dialog Gaza Dihatiku di sini, hari ini.

Dalam perkongsian itu, Nurul Ain melahirkan rasa bersyukur kerana tiba di Malaysia dengan selamat walau berdepan pelbagai cubaan, dan menganggap banyak pengajaran serta hikmah yang dia dan suami peroleh.

Menurutnya, keluarga di Palestin terutama anak-anak buah suaminya yang masih kecil menjadi penguat untuk dia menghadapi suasana getir di Gaza.

"Abang dan kakak ipar saya syahid ketika peperangan berlaku dan kami dipanggil untuk pengecaman mayat mereka dan mayat mereka berbau wangi.

"Malah, saya sangat kagum dengan semangat juang semua rakyat Palestin kerana mereka seolah-olah bersedia dan sentiasa ucapkan syukur walaupun rumah musnah, makanan tiada, air bersih tiada, elektrik dipotong, namun mereka masih bernyawa.

"Mereka sentiasa bersedia untuk mati syahid, malah wanita di sana apabila tiba waktu tidur, akan terus memakai telekung kerana jika mati akibat di bom, auratnya terpelihara.

"Ada beberapa situasi yang menjadikan saya sebak apabila anak saudara suami meminta membawanya pulang ke Malaysia.

"Bawalah saya pulang ke Malaysia kerana di sana tiada bom. Tetapi keesokan harinya, dia tukar fikiran dan ingin duduk di Gaza kerana jika mati, mereka akan mati syahid," katanya.

NURUL Ain dan suami warga Palestin Mohamed A M Shaat ketika berkongsi pengalaman sepanjang terkandas di Gaza di surau Al Mukarramah Keramat, hari ini. FOTO Rohanis Shukri
NURUL Ain dan suami warga Palestin Mohamed A M Shaat ketika berkongsi pengalaman sepanjang terkandas di Gaza di surau Al Mukarramah Keramat, hari ini. FOTO Rohanis Shukri

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Nurul Ain berkata, dia akan menetap sementara bersama keluarganya bagi menguruskan sumbangan yang diterima daripada orang ramai untuk membantu rakyat Palestin, manakala suaminya akan ke Dubai untuk meneruskan pekerjaan.

"Saya perlu menyalurkan segala sumbangan diterima dan merancang untuk menyerahkannya dalam bentuk tunai kepada abang ipar.

"Di sana, lebih mudah untuk mereka beli segala apa keperluan dan saya juga ada hubungi pembekal makanan di sana.

"Tetapi setakat hari ini, sudah tiga hari saya tidak berjaya hubungi keluarga mentua memandangkan talian telefon dan Internet terputus, tiada langsung khabar berita yang kami dapat," katanya.

Nurul Ain juga menyeru supaya rakyat Malaysia untuk kekal memberi bantuan dan mendoakan penduduk Palestin serta terus memboikot produk Israel.

Sementara itu, Mohamed berkata, Gaza yang bakal memasuki musim sejuk dikatakan tidak mempunyai persediaan bagi menghadapi musim itu.

"Kami dapat beli selimut untuk mereka yang memerlukan tetapi stok semakin berkurangan dan ini merisaukan saya kerana cuaca di sana hujan dan semakin sejuk.

"Apa kami ada lebih di rumah, kami kongsi bersama mereka dan bantu mereka semampu boleh dan saya harap lebih banyak bantuan boleh dibawa masuk ke Gaza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 6:06 PM