Amir Hamzah Nordin


Raub: Durian yang berbuah di pangkal pokok dianggap unik dan belum pernah ditemukan sebelum ini sehingga ramai pencinta buah durian dari Lembah Klang dan penduduk sekitar daerah ini datang di Kampung Sengkela dekat sini, untuk melihatnya sendiri.

Seorang penyelidik durian, Dr Abdul Aziz Zakaria berkata, dia sendiri pada mulanya ia adalah durian 'kura-kura' dari spesies 'Durio testudinarius' dari keluarga Malvaceae yang terdapat di Borneo sebaliknya ia tidak sama.

"Dilihat dari sifatnya, ia jenis durian spesis 'Durio Johoricus' tetapi muncul pelbagai andaian dan kemungkinan besar ia daripada spesies yang baharu yang belum diketahui," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Pertanian dari Universiti Florida, Amerika Syarikat dan juga Doktor Falsafah dari Utah State Universiti, Amerika Syarikat yakin ia adalah spesies baharu dan bukan dari spesies 'Durio Johoricus'.

"Walaupun durian ini spesies baharu, diharapkan penduduk tempatan menjaga dan tidak memusnahkannya kerana jenis durian ini perlu disimpan sebagai satu khazanah baharu hutan negara.

"Diharap pihak berkaitan turut menjalankan penyelidikan yang menyeluruh agar spesies ini dipelihara dan menambah koleksi durian hutan negara serta potensinya" katanya.

Sementara itu, pengemar durian, Aidi Rosli Khalim yang turut serta ke Kampung Sengkela berkata, dia turut terkejut dengan kemunculan durian jenis itu.

"Sebelum ini, saya mengetahui durian berbuah di pangkal pokok banyak ditemui di Sabah dan Sarawak dan 'Durio Pinangianus' pernah ditemui di Sungai Sedim di Kulim, Kedah beberapa tahun yang lalu.

"Jenis 'Durio Malaccensis' dipercayai banyak di sekitar Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang dan Terengganu dan dikenali sebagai durian batang, durian daun atau durian tong.

Katanya, manakala 'Durio Johoricus juga berbunga pada batang pokok dan dipercayai pernah dijumpai di Endau-Rompin, Selai, Segamat dan Pahang dan kini di Kampung Sengkela dipercayai spesies baharu.

Peraih durian di Kampung Damak, Jerantut, Ahmad Mustapha pula berkata, dia bersama rakannya dari Kelab Pencinta Durian dan Durian Hunter melawat ke kawasan pokok duarian itu.

"Seorang ahli kelab ini pada awalnya mengesahkan spesies ini merupakan durian kura-kura yang boleh didapati di beberapa tempat di Sarawak.

"Maklumat daripada rakan di Sarawak, keunikan durian kura-kura ialah rasa dan teksturnya yang berbeza dengan durian biasa, saiz dan susun atur ulasnya hampir dengan buah pakan iaitu sejenis durian di Sarawak yang isinya berwarna jingga dan bijinya berwarna coklat," katanya.

Penduduk Kampung Sengkela, Nurul Zalikha Uzir, 28, antara paling awal menemui buah unik itu berkata, pertama kali dia menemukan sebatang pokok di pinggir jalan kampung ini ketika mula berbunga cantik berwarna ungu di pangkal pokok beberapa bulan lalu.

"Sejak berbunga, saya kerap berulang-alik ke pokok durian ini untuk mengetahui perkembangannya dan setelah beberapa bulan ia mula mengeluarkan putik seterusnya berbuah hampir 60 biji dalam kedudukan di pangkal pokok.

"Ia mula berbuah kira-kira empat bulan selepas penemuan bunga pokok ini, kelihatan kulitnya berduri berwarna ungu kehitaman dan tidak menjangka ia adalah buah durian dan peliknya berbuah di pangkal pokok," katanya.

Nurul Zalikha antara paling awal menemui buah unik itu di pinggir jalan kampung ini ketika mula berbunga cantik berwarna ungu di pangkal pokok beberapa bulan lalu.
Nurul Zalikha antara paling awal menemui buah unik itu di pinggir jalan kampung ini ketika mula berbunga cantik berwarna ungu di pangkal pokok beberapa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 4:03 PM