SPESIS kura-kura Indian star tortoise yang paling banyak diseludup dan dijual di pasaran gelap. FOTO EPA
SPESIS kura-kura Indian star tortoise yang paling banyak diseludup dan dijual di pasaran gelap. FOTO EPA
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Tanpa disedari, penyeludupan dan pemerdagangan haram pelbagai spesies kura-kura terutama di Asia mendatangkan keuntungan berpuluh juta dolar Amerika Syarikat setahun kepada rangkaian sindiket antarabangsa.

Siasatan Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar (WJC) mendapati penyeludupan reptilia itu masih tertumpu di sekitar Asia Tenggara selain turut diseludup ke pasaran gelap Eropah.

Berdasarkan siasatan dilakukan, perdagangan penyu dan kura-kura haram ini bertitik tolak aktiviti penyeludupan keluar haiwan itu berasal dari India, Sri Lanka, Pakistan dan Madagascar.

Malah, WCJ sebelum ini mengenal pasti lapan rangkaian jenayah penyeludupan kura-kura yang beroperasi di seluruh India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Malaysia dan Thailand.

Kebiasaannya haiwan ini akan melalui transit sama ada di Malaysia, Thailand atau Vietnam sebelum dihantar kepada pembeli sebenar di China dan Hong Kong.

Berdasarkan siasatan, spesis kura-kura Indian star tortoise dan black spotted turtle berkedudukan teratas dan paling popular dijual di pasaran gelap dunia.

Kura-kura ini yang mempunyai corak bintang dan tompok hitam pada cengkerang didakwa semakin pupus kesan penyeludupan aktif dilakukan.

Selain itu spesies kura-kura Madagascar atau radiated tortoises turut menjadi buruan sindiket penyeludupan apabila beribu ekor haiwan turut diseludup keluar dari negara asal.

BLACK spotted turtle juga paling popular dijual di pasaran gelap dunia.
BLACK spotted turtle juga paling popular dijual di pasaran gelap dunia.

Sindiket tidak hanya melakukan penyeludupan menggunakan perkhidmatan penerbangan awam malah turut menggunakan bot serta laluan laut untuk memindahkan kura-kura berkenaan.

Ia terbukti apabila lapangan terbang di bandar Chennai selatan India pernah menjadi hab penyeludupan kura-kura selain bandar di barat laut Kalpitiya, Sri Lanka yang terkenal dengan aktiviti penyeludupan haram haiwan itu.

Di India, pihak berkuasa negara itu bertindak merampas kira-kira 5,000 kura-kura Indian star tortoise antara Oktober 2021 hingga Februari 2022. Manakala sebanyak 5,487 kura-kura spesis sama dirampas antara tahun 1997 hingga 2019.

Walaupun kebanyakan kura-kura Indian star tortoise yang dirampas adalah haiwan yang diseludup keluar dari India namun spesies sama yang ditangkap liar di Sri Lanka semakin meningkat.

Haiwan ini dilindungi dan dikategorikan dalam jadual pertama Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) serta diharamkan untuk diperdagangkan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya turut aktif memerangi aktiviti penyeludupan kura-kura untuk tujuan perdagangan haiwan peliharaan haram global.

Menurutnya, sempena sambutan Hari Penyu dan Kura-Kura Sedunia yang disambut pada 23 Mei setiap tahun, pihaknya berusaha memupuk kesedaran awam dalam melindungi spesies penyu dan kura-kura yang sangat unik.

"Ini termasuk spesies tuntung laut dan tuntung sungai yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia.

"Selagi masih ada permintaan untuk kura-kura, akan sentiasa ada pasaran gelap yang mendorong pemburu haram mengambil risiko mengumpul haiwan itu dari habitat liar.

"Masyarakat perlu disedarkan bahawa spesies kura-kura semakin terancam dan berdepan kepupusan disebabkan oleh aktiviti penyeludupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 8:01 AM