DUA suspek ditahan selepas disyaki menyeludup spesis Indian Star Tortoise ke negara ini di sebuah hotel di Cheras.
DUA suspek ditahan selepas disyaki menyeludup spesis Indian Star Tortoise ke negara ini di sebuah hotel di Cheras.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Bagaimana mudah bolos pemeriksaan ketat di lapangan terbang?

Persoalan itu timbul susulan tindakan seorang lelaki warga India yang berupaya menyeludup masuk berpuluh ekor kura-kura spesies Indian Star Tortoise ke negara ini.

Difahamkan spesies Indian Star Tortoise yang menjadi kegilaan peminat haiwan eksotik boleh menjangkau harga sehingga RM2,000 seekor.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan penyeludupan itu berjaya dibongkar hasil operasi Ops Elegans Unit Pengawalan Hidupan Liar (WCU) yang melakukan serbuan di sebuah hotel di Cheras di sini.

Menurutnya, dalam operasi jam 9.30 malam kelmarin itu, pegawai Perhilitan menahan seorang lelaki warga India berusia 30-an berasal dari Chennai, Tamil Nadu, India.

"Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an yang berada bersama suspek di dalam bilik hotel itu.

"Hasil pemeriksaan menemui beg bagasi berwarna biru berisi 50 kura-kura Indian Star Tortoise yang masih hidup," katanya.

Menurutnya, keseluruhan kura-kura diseludup masuk itu dianggarkan bernilai RM115,000.

"Semua haiwan liar dilindungi itu kemudian disita dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Siasatan masih dijalankan berhubung penyeludupan kura-kura spesies Indian Star Tortoise yang kebiasaannya dijual sebagai haiwan peliharaan eksotik.

"Perhilitan akan terus berusaha mengekang jenayah hidupan liar khususnya aktiviti perdagangan haram dan aktiviti lain yang terkait dengan pelanggaran akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 8:01 AM