KEADAAN motosikal ditunggangi Long yang  maut selepas bergesel dengan  lori  di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Johor Bahru, semalam.
KEADAAN motosikal ditunggangi Long yang maut selepas bergesel dengan lori di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Johor Bahru, semalam.
Oleh Syazwan Msar


Rompin: Sebelum kejadian saya sempat memberikan wang kepada ayah untuk ke bandar dan dia mengucapkan Alhamdulillah, reaksinya ketika itu amat gembira sekali,” kata Saiful Long, 27, anak kepada warga emas yang maut selepas menjadi mangsa langgar lari di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Johor Bahru, berhampiran Kampung Jawa, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, motosikal ditunggang Long Md Aroff, 80, dari Kampung Jawa, bergesel dengan sebuah lori ketika mahu melintas jalan.

Difahamkan pemandu lori berkenaan terus melarikan diri selepas menyedari kemalangan itu.

Saiful berkata, sebelum kejadian, dia bersiap ke sawah berhampiran sebelum didatangi bapanya yang menyatakan hasrat mahu ke bandar untuk membeli barang keperluan.

“Ayah sempat minta sedikit wang perbelanjaan untuk ke bandar bagi membeli barangan dapur dan ubat penyakit gout dihidapinya. Arwah menunjukkan reaksi begitu gembira apabila diberikan wang.

“Namun, selepas setengah jam dia keluar, saya terima panggilan daripada kakak memaklumkan ayah terbabit kemalangan sebelum bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dia berkata, luluh hatinya apabila melihat bapa mengerang kesakitan di tengah jalan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Rompin, di sini, namun disahkan meninggal dunia selepas hampir dua jam menerima rawatan.

“Saya reda dengan musibah menimpa namun terkilan kerana pemandu lori itu pergi tanpa menghulurkan bantuan kepada ayah yang terbaring di tengah jalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego mahu melintas jalan untuk ke bandar ini.

Katanya, mangsa tidak menyedari kehadiran sebuah lori menyebabkan dia bergesel dengan kenderaan berkenaan.

“Pemandu lori tidak memberhentikan kenderaan, malah meninggalkan mangsa dalam keadaan kesakitan sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian menghulurkan bantuan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Rompin namun disahkan meninggal dunia 2 jam kemudian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Johari berkata, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala serta anggota badan dan jenazahnya sudah dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Johari berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:10 AM