NISSAN Elgrand yang terbabit kemalangan di Kilometer 123 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sabak Feri yang menyebabkan dua kematian. FOTO ihsan polis
NISSAN Elgrand yang terbabit kemalangan di Kilometer 123 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sabak Feri yang menyebabkan dua kematian. FOTO ihsan polis
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Pemandu dan penumpang Perodua Viva maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 123 Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Kampung Sabak Feri, di sini, semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu, Muhammad Aidil Adha Nazri, 23, dan penumpang, Bosiah Abdullah, 62, masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala.

Tiga lagi mangsa yang berada dalam kenderaan iaitu Hasimah Ton Ismail, Nur Bidayatul Hidayah Nazri dan Nazri Abdullah mengalami kecederaan anggota badan.

Turut mengalami kecederaan pemandu Nissan Elgrand, Azhan Azif dan pemandu lori, Mohd Afiq Syahmi Suhaimi serta kelindan lori yang masih belum dapat dikesan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, kejadian 9.30 pagi itu membabitkan Perodua Viva, Nissan Elgrand dan lori yang membawa muatan ikan.

Menurutnya, siasatan mendapati Nissan Elgrand dari arah Johor Bahru ke Kuantan dipercayai terbabas ke lorong bertentangan dan melanggar lori dan Perodua Viva dari arah bertentangan.

Katanya, ketika kemalangan berlaku keadaan cuaca baik dan jalan kering.

"Dua mangsa yang meninggal dunia dipercayai mempunyai hubungan keluarga.

"Saya menasihatkan kepada pemandu kenderaan supaya lebih berhati-hati ketika memandu di laluan lurus, mereka perlu mengikut had laju ditetapkan dan berehat sekiranya penat serta mengantuk," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika musim hujan, pemandu juga perlu sentiasa mengawal kelajuan supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 11:43 AM