KEMALANGAN empat kenderaan yang meragut nyawa suami isteri. FOTO ihsan Bomba
KEMALANGAN empat kenderaan yang meragut nyawa suami isteri. FOTO ihsan Bomba
Shahrul Nizam Mohamad


Rompin: Suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 116 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Rompin, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Shafiee Ngah, 50, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rompin dan isterinya, Norhazaimi Abd Wahab, 48, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, anak pasangan itu, Muhammad Faris, 9, parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan.

"Kemalangan dipercayai berpunca apabila Mitsubisi Triton dipandu oleh Haizul Hazrin @ Mohd Haizul Ghazali, 36 terbabas dan memasuki laluan bertentangan ketika tiba di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, kenderaan itu kemudian bergesel dengan Toyota Avanza dan berpusing beberapa kali.

Katanya, mangsa bersama keluarganya menaiki Toyota Unser dari arah belakang gagal mengelak dan terlanggar bahagian tepi Mitsubishi Triton sebelum dilanggar Perodua Viva.

Menurutnya, pemandu Mitsubishi Triton, Haizul Hazrin dan anaknya, Muhammad Hazim Adha, 6, cedera, manakala pemandu Perodua Viva, Jamsari Mohamad, 52, juga cedera.

Azli berkata, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 7:57 PM