KEADAAN lori dinaiki tiga beradik selepas bertembung dengan sebuah kren. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN lori dinaiki tiga beradik selepas bertembung dengan sebuah kren. FOTO Ihsan Bomba
Khairulmizan Yahya


Rompin: Tiga beradik maut selepas lori dinaiki bertembung dengan sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bharu dekat Kampung Sepakat, di sini, petang hari ini.

Tiga beradik terbabit, Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28, Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17, dari Jalan Sungai Kolek, di sini.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada 7.35 petang itu

berpunca daripada kecuaian pemandu lori Toyota Hiace yang memandu secara berbahaya.

"Lori dipandu oleh Muhammad Solihin manakala Muhammad Firdaus dan Ahmad Jazuly sebagai kelindan dalam perjalanan dari Johor Bharu menghala arah Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan jentera berat berkenaan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya, akibat kejadian itu, ketiga beradik berkenaan parah di kepala serta kaki dan disahkan meninggal dunia.

Sementara pemandu kren berusia 38 tahun turut cedera di bahagian badan.

"Kesemua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan awal juga mendapati, pemandu lori terbabit yang juga pelajar Politeknik Muadzam Shah, tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 11:37 PM