Rompin: Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar kereta yang mahu memasuki simpang di Kilometer 130, Jalan Kuantan-Johor Bahru, berhampiran Jeti Tanjung Gemok, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 2.40 petang itu menyebabkan mangsa, Ridwan Sabarda, 21, dari Kampung Pulau Lang Kiri, Kuala Rompin, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari bandar ini menuju ke Kuantan.

Katanya, namun ketika tiba di lokasi kejadian, Ridwan yang menunggang motosikal berseorangan dipercayai gagal mengelak sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki, Tanjung Langkau, 29, di depannya yang mahu memasuki simpang ke kanan.

“Melihat kereta berkenaan mahu memasuki simpang, mangsa terus membrek secara mengejut menyebabkan motosikalnya meluncur laju 20 meter lalu melanggar belakang kenderaan terbabit.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan anggota badan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian menghubungi ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:05 AM