KEADAAN  dua daripada tiga kenderaan yang terbabit nahas.
KEADAAN dua daripada tiga kenderaan yang terbabit nahas.
Shahrul Nizam Mohamad


Rompin: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah selepas terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 123 Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Leban Chondong, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, mangsa pemandu kereta Perodua Viva, Mubim Sulong, 64, berasal dari Kampung Gading, Jalan Muadzam Shah, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Rahmah Kasim, 57, cedera parah.

Mangsa yang cedera ringan iaitu pemandu van yang juga pegawai penyiasat kanan polis, Nor Saddam Nor Azman, 26, bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Putri, Johor.

Dua lagi anggota polis Abdul Kher Zani, 26, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru dan Azmil Aliff Abd Latiff, 33, yang bertugas di Bahagian Risikan Operasi Jenayah Komersial IPD Iskandar Putri tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila van polis dinaiki tiga anggota polis dalam perjalanan ke Johor Bahru dari Kuantan terbabas ke kiri jalan namun masuk semula ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, kenderaan pasukan keselamatan itu melanggar kereta dipandu Mubim sehingga menyebabkan van dinaiki tiga anggota polis itu berpusing,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati, ketika berpusing bahagian depan kiri van itu bergesel pula dengan sebuah pacuan empat roda sehingga menyebabkan pemandunya hilang kawalan.

Menurutnya, ketika kejadian, van polis itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas menghantar sembilan lelaki Orang Kena Tahan (OKT) di IPK Pahang di Kuantan, manakala kereta dipandu Mubim dan kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan ke Kuantan.

Katanya, pemandu pacuan empat roda itu juga tidak mengalami kecederaan.

“Mayat Mubim dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dijalankan sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:00 AM