AHMAD Zahid bersalaman dengan Han Zheng selepas mesyuarat dua hala di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
AHMAD Zahid bersalaman dengan Han Zheng selepas mesyuarat dua hala di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Malaysia dan China sepakat menubuhkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini yang akan memberi tumpuan kepada bidang baharu antaranya kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, institusi baharu itu akan diletakkan di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Katanya, penubuhan institusi itu tidak akan membabitkan sebarang kos, sebaliknya menggunakan infrastruktur sedia ada.

"Apa yang kami persetujui ialah untuk sebuah institusi TVET Malaysia dan China diwujudkan sebagaimana kita mewujudkan (institusi TVET) dengan Jerman dan beberapa negara lain.

"Mereka (China) memberi peluang untuk pelajar TVET mendalami bidang EV, AI, komunikasi, telefon pintar dan solar serta teknologi lain yang boleh ditawarkan kepada pelajar Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden China, Han Zheng di Sri Satria di sini, hari ini.

Kunjungan hormat itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja Zheng ke Malaysia selama empat hari bermula semalam sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini.

Ahmad Zahid berkata, dari segi modul TVET pula, ia akan disediakan melalui industri China yang terdapat di negara ini untuk memastikan pelajar yang mengikuti kursus terbabit, boleh diserap oleh syarikat berkenaan.

"Apa yang penting ialah modulnya itu (dirangka melalui) teknologi dari China melalui industri yang ada di negara kita ini dan akhirnya perjanjian antara institusi TVET ini dengan pemain industri, 100 peratus pelajar yang dilatih akan diambil bekerja oleh syarikat China yang ada di Malaysia," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia harus mempelajari bagaimana China berupaya membangunkan kawasan luar bandarnya.

"Di luar bandar bukan hanya soal pertanian tetapi bagaimana soal mewujudkan kaedah migrasi dari luar bandar itu tidak digalakkan tetapi pembangunan terbabit dibawa ke luar bandar.

"Ia bukan sahaja mewujudkan bukan sahaja dari segi infrastruktur malah (mewujudkan) latihan untuk usahawan selain membawa industri ke kawasan luar bandar.

"Ini akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak dan menyebabkan kuasa beli masyarakat luar bandar dapat dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia menawarkan pelabur dari China untuk membuka kilang di negara ini khususnya dalam sektor halal.

"Kami bersetuju mengenai program membabitkan pembangunan industri halal kerana terdapat 14 industri zon halal di Malaysia dan kami menawarkan pelabur dari China untuk membuka kilang mereka di sini.

"Kita akan bekerjasama dengan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya pengeluaran produk halal yang dikeluarkan di sini, dieksport ke negara Islam dan negara lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 9:16 PM