Suliati Asri

BARU-BARU ini, kerajaan menubuhkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) bagi memfokuskan pembangunan modal insan khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

Selain dianggotai 12 persatuan membabitkan sektor industri itu akan bekerjasama dengan 11 kementerian yang diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), inisiatif itu juga bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.

Bukan itu saja, sejumlah 12 hab juga dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti, pelancongan dan teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah serta Sarawak.

Penarafan tunggal TVET juga dijangka memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak yang terbabit untuk merapatkan jurang antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

Penubuhan GITC dengan pelbagai inisiatif itu mendapat sokongan positif daripada pelbagai pihak termasuk institusi TVET.

Dekan Kanan, Kolej Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Profesor Dr Abdullah Ibrahim berkata, pihaknya sangat menyokong inisiatif itu walaupun pada hakikatnya ia perlu dilaksanakan sejak dulu.

Menurutnya, sekolah vokasional (kini kolej vokasional) yang juga sebahagian penyedia TVET di Malaysia bukan baharu kerana ia wujud sejak 1960-an. Justeru, inisiatif ini sangat kena pada masanya, sekali gus mampu mempertingkatkan TVET di peringkat nasional.

ILMU yang dipelajari memanfaatkan keperluan kerjaya pasaran tempatan dan luar negara.
ILMU yang dipelajari memanfaatkan keperluan kerjaya pasaran tempatan dan luar negara.

"Kalau kita ambil contoh negara maju seperti Jerman, Amerika Syarikat, United Kingdom dan lain-lain negara, hubungan industri dan institusi TVET sangat baik dan akrab sejak dulu.

"Industri bagi kerjasama yang sangat erat daripada pelbagai segi termasuk pembangunan kokurikulum, peralatan dan banyak lagi, sekali gus mereka mudah serta senang untuk berkolaborasi dengan institusi TVET.

"Jadi, dengan adanya inisiatif ini, industri dapat menjalin kolaborasi yang baik dengan institusi TVET seperti negara maju lain," katanya.

Mempunyai pengalaman mengajar vokasional sejak 1974, Dr Abdullah berkata, penubuhan GITC itu juga memberi banyak kelebihan bukan saja kepada industri dan institusi latihan, tetapi juga kepada pelajar.

"Kelebihan yang saya maksudkan itu adalah dalam konteks industri akan lebih kenal institusi TVET selain mereka mahu membantu serta bekerjasama dengan institusi.

"Bukan kata selama ini mereka tidak memberikan kerjasama, tetapi mereka lebih memikirkan apa manfaat akan diperoleh.

"Jadi, dengan inisiatif ini terutama dengan adanya pembabitan kerajaan, ia mampu memberikan situasi menang-menang antara industri dan institusi TVET," katanya.

Mengulas sejauh mana penubuhan GITC yang dianggotai 12 persatuan membabitkan sektor industri mampu memperkasakan lagi TVET di Malaysia, kata Profesor Abdullah, dengan adanya individu yang berada dalam persatuan sama ada pihak industri mahupun institusi TVET, mereka dengan sendiri mampu melihat lebih jelas situasi yang dialami.

"Di institusi TVET termasuk Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), dalam kurikulum itu sendiri sudah menetapkan pelajar akan dihantar ke industri untuk melaksanakan pembelajaran berasaskan kerja.

"Tetapi, sejauh mana industri mahu menerima pelajar yang ramai? Ini juga yang sentiasa merisaukan pihak universiti.

TVET dapat meningkatkan kemahiran diri dan memupuk keinginan untuk pembaharuan.
TVET dapat meningkatkan kemahiran diri dan memupuk keinginan untuk pembaharuan.

"Jadi, dengan adanya GITC, perkara ini akan lebih difahami oleh industri dan memberi kerjasama, sekali gus memudahkan pihak institusi," katanya.

Dr Abdullah berkata, pihak industri sebenarnya perlu menjalinkan kerjasama baik dan rapat dengan institusi latihan kerana ia boleh membantu membina kurikulum mengikut acuan mereka.

"Jika hal ini dilaksanakan, institusi latihan mampu melahirkan graduan yang sesuai dengan kehendak industri, sekali gus memberi manfaat kepada mereka juga.

"Sama juga dengan dengan penghantaran pelajar selama setahun ke industri. Sebenarnya pelajar ini boleh dianggap sebagai bakal pekerja. Selain boleh belajar dengan lebih mendalam dan memperluaskan pengetahuan, pihak industri juga mempunyai bakal pekerja yang sudah mempunyai kemahiran asas," katanya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan menerusi penubuhan GITC ini, beliau berharap TVET di Malaysia akan menjadi seperti negara maju lain.

"Kalau di Jerman sendiri, industri mereka dengan institusi TVET sangat akrab dan sangat bekerjasama sehingga pelajar boleh berulang-alik antara industri dan institusi.

"Ini kerana pihak industri faham mengenai kebaikan dan manfaat yang diperoleh mereka dengan jalinan kerjasama itu.

"Jadi, dengan adanya GITC ini, saya berharap dari semasa ke semasa, industri akan faham. Selain itu, kita juga boleh menyamai negara maju mengenai pentingnya berkolaborasi dengan institusi latihan terutama berkaitan kemahiran teknikal," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penubuhan GITC sebagai badan perantara akan mewujudkan ekosistem TVET yang lebih bersepadu.

Menurutnya, kewujudan badan perantara itu juga selari dengan agenda dan aspirasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membangunkan modal insan luar bandar yang berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.

"Pihak KPLB menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri yang memperakukan penubuhan GITC, pelaksanaan Hub Kolaborasi TVET serta cadangan penarafan tunggal Program TVET.

PELBAGAI pertandingan diadakan dalam memperkasakan kemahiran TVET.
PELBAGAI pertandingan diadakan dalam memperkasakan kemahiran TVET.

"Penubuhan GITC yang diterajui pihak industri membolehkan pihak industri sendiri bersama-sama kerajaan mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan media.

Menerusi Hub Kolaborasi TVET, kata Mahdzir, terdapat tiga institusi pendidikan TVET KPLB di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Institusi ini adalah adalah Kluster Integrasj Sistem Avionik dan Komunikasi Satelit, UniKL MIAT, Kluster Automasi dan Robotik Industri, UniKL MFI dan Pusat Rel Asia UniKL yang diiktiraf sebagai antara hab fasa pertama Pusat Kecemerlangan Industri di Wilayah Tengah.

"UniKL juga bersedia memainkan peranan yang dimandatkan dalam memacu kolaborasi bersinergi antara institusi TVET, kerajaan dan industri menerusi perkongsian sumber, kepakaran dan peralatan bagi pemerkasaan TVET," katanya.

KPLB mempunyai 279 institusi pendidikan TVET di seluruh negara yang mempunyai kekuatan dan mengikut padanan dengan keperluan industri.

Antara jalinan kolaborasi TVET KPLB dengan pihak industri termasuk kolaborasi strategik dengan pelbagai sektor perindustrian melalui pemeteraian sejumlah 227 Memorandum Persefahaman (MoU) berstatus aktif.

Kolaborasi merangkumi pembekalan teknologi terkini, kepakaran dan latihan secara profesional, pembangunan program, tenaga pengajar dan pelatih, pemindahan teknologi dan pengetahuan, peningkatan kemahiran dan latihan semula (upskilling dan reskilling).

Kolaborasi itu memastikan semua pelatih TVET KPLB dilengkapi kemahiran kebolehpasaran yang tinggi mengikut keperluan industri dengan kadar upah yang tinggi.

"Inisiatif yang dirancang ini mampu memperkemas dan memperkukuhkan lagi ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggembelengan bersepadu semua pihak yang berkepentingan dalam usaha memartabatkan TVET sebagai pilihan pertama kerjaya," katanya.

KEMAHIRAN pelajar TVET dalam bidang automotif turut diperlukan.
KEMAHIRAN pelajar TVET dalam bidang automotif turut diperlukan.

Pada masa sama, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) juga menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan negara dalam bidang TVET khususnya berkaitan keperluan pembangunan dan peningkatan kemahiran serta kebolehpasaran tenaga kerja.

Usaha dan tumpuan kerajaan dalam pembangunan modal insan ini disokong dalam pembentangan Bajet 2022 apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk tujuan pendidikan termasuk pemerkasaan TVET.

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Kol Bersekutu (PA) Ts Dr Mohd Muzzammil Ismail, Yayasan Peneraju sudah menyediakan program latihan TVET sejak penubuhannya 10 tahun lalu.

"Objektif program ini adalah untuk menyumbang kepada peningkatan bilangan Bumiputera yang memiliki pensijilan kemahiran tinggi yang diiktiraf di peringkat industri dan antarabangsa seterusnya mencapai sasaran negara untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan.

"Sejak 2020, Yayasan Peneraju meluaskan lagi penawaran program TVET yang mempunyai elemen kebolehpasaran dan kebolehgajian kepada golongan bekerja serta tidak bekerja.

"Ini termasuk graduan baharu, siswazah menganggur, mereka yang kehilangan pekerjaan ataupun yang ingin meningkatkan kemahiran 'upskill' atau mempertingkatkan kemahiran 'reskill' ke tahap lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 7:00 AM