RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sekumpulan individu dikesan melakukan aktiviti berbasikal di Jalan P Ramlee menghala KLCC di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kejadian itu tular apabila video berdurasi 59 saat yang menunjukkan kumpulan itu berbasikal dimuat naik di Facebook hari ini.

"Hasil penelitian video itu mendapati aktiviti berkenaan berlaku pada 11.40 malam Sabtu lalu.

"Polis mengesan aktiviti berkenaan pada hari sama dan bertindak menyuraikan mereka pada 11.48 malam di Jalan Sultan Ismail dengan memberi amaran serta nasihat supaya kembali ke rumah masing-masing," katanya dalam kenyataan.

Justeru, Noor Dellhan menasihati masyarakat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19 walaupun Kuala Lumpur sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya memantau anak di bawah 17 tahun daripada terbabit aktiviti berkenaan.

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkenaan pelanggaran SOP kepada pihaknya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 10:07 PM