Alias Abd Rani


Muar: Seorang pekerja kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul kanak-kanak perempuan ketika mengajaknya mengambil daun pandan di rumah di Kluang, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Hussein Roslan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak, 11, dekat rumah di Kluang, 20 Oktober lalu, antara 7.30 malam hingga 8 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan fakta kejadian, tertuduh dilaporkan bertandang ke rumahnya untuk mengambil daun pandan.

Pada masa masa, tertuduh turut mengajak mangsa menemaninya sebelum mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu.

Mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian kepada ahli keluarganya sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Kluang.

Mahkamah mengenakan ikat jamin RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga disyaratkan perlu melapor diri di Balai Polis Kluang setiap bulan dan tidak boleh mengganggu, berhubung ataupun berkomunikasi dengan mangsa atau keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:56 PM