Aedy Fadly (tengah) menyampaikan replika lesen motosikal B2 kepada seorang peserta pada Majlis Penutupan Program MyLesen B2 peringkat JPJ Melaka di Banda Hilir hari ini. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Aedy Fadly (tengah) menyampaikan replika lesen motosikal B2 kepada seorang peserta pada Majlis Penutupan Program MyLesen B2 peringkat JPJ Melaka di Banda Hilir hari ini. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Kajian untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B1, B2 kepada B secara automatik akan dimuktamadkan akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, kajian berhubung penggabungan lesen memandu motosikal kepada satu lesen sahaja kini di peringkat akhir penelitian oleh Kementerian Pengangkutan bersama pihaknya.

"Kita akan selesaikan dalam tahun ini juga, di peringkat JPJ kita tunggu keputusan Kementerian Pengangkutan kerana ia membabit dasar.

"Setakat ini kementerian belum umumkan apa-apa keputusan, tapi insya-Allah saya rasa tak ada masalah, mungkin dalam tahun ini kita akan umumkan tertaktuk kepada perbincangan kita dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke)," katanya pada Majlis Penutupan Program MyLesen B2 peringkat JPJ Melaka di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Seramai 298 golongan B40 terdiri daripada penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah, Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat, e-Kasih, Baitulmal dan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka menerima lesen B2.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang keputusan berhubung penggabungan lesen berkenaan tidak perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik ke Kementerian Pengangkutan untuk penelitian.

Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly berkata, bekalan fizikal Lesen Kenderaan Motor (LKM), Cukai Jalan dan juga Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) di seluruh negara adalah mencukupi ketika ini.

"Jadi orang ramai tidak perlu risau kerana JPJ akan sentiasa menyediakan stok LKM, Cukai Jalan dan VOC yang diperlukan di setiap negeri.

"Sekarang ini memang ada sedikit keresahan orang awam yang mengatakan ia tidak mencukupi dan kita sentiasa pantau, mungkin ada cawangan yang kekurangan disebabkan isu penghantaran dan kita akan selesaikan," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 2:38 PM