AEDY Fadly Ramli pada sidang media Ops PEWA di Persiaran Budiman, Seksyen 25 Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
AEDY Fadly Ramli pada sidang media Ops PEWA di Persiaran Budiman, Seksyen 25 Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 136,448 warga asing direkodkan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya di seluruh negara dengan 143,630 notis saman dikeluarkan sejak 2019 hingga 23 Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),Aedy Fadly Ramli berkata antara kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh serta tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM).

"Bagi Selangor, seramai 566 warga asing dikesan melakukan kesalahan yang sama dengan 6,851 notis dikeluarkan JPJ," katanya pada sidang media selepas Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di Persiaran Budiman, Seksyen 25 dekat sini, hari ini.

Operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bermula pada jam 8 pagi dan memfokuskan kepada pemandu warga asing di kawasan Seksyen 25 (Taman Sri Muda).

Aedy berkata, pada operasi itu sebanyak 714 pelbagai jenis kenderaan diperiksa dan 132 notis saman dikeluarkan terhadap warga asing.

"Sehingga jam 5 petang ini, JPJ menyita 22 kenderaan iaitu 19 buah motosikal, dua buah lori dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan.

"Kita memfokuskan di kawasan ini berikutan ia adalah lokasi panas bagi warga asing," katanya.

Mengulas lanjut, Aedy berkata rata-rata kenderaan yang disita dimiliki warganegara tempatan dan tindakan mahkamah akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, operasi berkenaan sentiasa diteruskan pasukan JPJ di seluruh negara dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 12:24 AM