GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Setakat ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) belum menerima sebarang arahan mengenai moratorium Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang akan tamat 31 Disember ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, tiada sebarang arahan diterima sama ada daripada kerajaan atau Kementerian Pengangkutan berhubung perkara itu.

"Setakat ini Ketua Pengarah JPJ tiada terima sebarang arahan untuk sambung atau melanjutan tempoh pembayaran moratorium terhadap kedua-dua dokumen keselamatan LKM dan LMM daripada pihak kerajaan atau Yang Berhormat Menteri Pengangkutan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan ringkas kepada Harian Metro apabila ditanyaadakah tempoh moratorium akan dilanjutkan susulan pendedahan bahawa 3.78 juta kenderaan di seluruh negara belum memperbaharui LKM sehingga 15 November lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, yang mendedahkan perkara itu turut dilaporkan berkata, pemilik LKM diberi tempoh hingga 31 Disember ini untuk memperbaharuinya.

September lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, tempoh moratorium lanjutan pembaharuan LKM dilanjutkan hingga 31 Disember ini dan pemilik LKM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah serta menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:59 PM