KUALA LUMPUR 22 SEPTEMBER 2023. Pegawai dan anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Awan Besar (Timur), Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR 22 SEPTEMBER 2023. Pegawai dan anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Awan Besar (Timur), Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kenderaan mewah antara dikesan tidak mempunyai cukai jalan dan insurans.

Kesalahan itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam Operasi Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar menghala Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, ia kesalahan tertinggi yang direkodkan pihaknya sepanjang operasi bermula 8.30 malam sehingga 12 tengah malam.

Menurutnya, operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membabitkan kekuatan 140 pegawai serta anggota itu memeriksa 1,458 kenderaan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 668 kenderaan dikenakan tindakan membabitkan 856 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk 281 kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.

"Operasi ini menyasarkan pelbagai kesalahan oleh pengguna jalan raya dan meningkatkan pematuhan kepada peraturan jalan raya, selain mengesan penyalahgunaan dadah serta memastikan kenderaan berada di atas jalan raya selamat digunakan.

"Kita sedar kebelakangan ini ramai yang mengecam tindakan JPJ menguatkuasa undang-undang terutama terhadap pemandu tiada lesen dan cukai jalan, tapi tindakan JPJ itu untuk kebaikan semua.

"Sekiranya kenderaan tiada cukai jalan dan insurans bukan saja membahayakan pemandu atau penunggang terbabit tetapi juga pengguna jalan raya lain. Apabila berlaku kemalangan akan menyukarkan banyak pihak," katanya dalam sidang media selepas operasi.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata, JPJ Selangor mencatatkan peningkatan kadar pematuhan jalan raya di kalangan penunggang motosikal sepanjang bulan ini iaitu 50 peratus pada minggu pertama kepada 60 peratus pada minggu ketiga.

Kata beliau, JPJ Selangor juga merekodkan 6,398 kesalahan tiada insurans manakala tiada lesen memandu (4,535); sita motosikal (1,038) sepanjang tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 8:55 AM