Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Lelaki mendakwa "terkejut" apabila ujian saringan awal air kencing terhadapnya positif Methampetamine dan memberi alasan sudah lama berhenti mengambil dadah.

Lelaki berusia 44 tahun itu yang juga pemandu lori ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam sekatan pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Motosikal Sempena Tahun Baru Cina di Kepala Batas, malam tadi.

ANGGOTA JPJ memeriksa kenderaan dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina di Kepala Batas. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANGGOTA JPJ memeriksa kenderaan dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina di Kepala Batas. FOTO Luqman Hakim Zubir

Lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu berkata, ketika itu dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Mergong dari rumahnya di Jitra.

Katanya, sebelum ini dia pernah mengambil dadah untuk bekerja dan menjalani rawatan di pusat rawatan dan pemulihan AADK tiga tahun lalu.

Dalam operasi 8 malam hingga 12 tengah malam tadi, 99 kenderaan diambil tindakan oleh anggota penguatkuasa JPJ.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan kesalahan teknikal yang termaktub mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

Beliau berkata, operasi ini turut membabitkan 125 anggota daripada semua agensi penguatkuasaan termasuk AADK, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dalam operasi ini, 161 notis dikeluarkan kepada pemandu kenderaan termasuk penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Abdul Hamediee Ibrahim.

Dalam pada itu, Aedy Fadly turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang promosi membabitkan lesen terbang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Semua iklan promosi lesen terbang itu tidak pernah diiktiraf malah kita tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menawarkan iklan seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 11:03 AM