FISOL. FOTO Syaharim Abidin
FISOL. FOTO Syaharim Abidin
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Bukan sekali dua, bahkan serbuan dan operasi bersepadu sudah kerap kali dilakukan di beberapa kawasan di Kuala Kedah bagi menangani aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, penguatkuasaan itu tidak 'menggentarkan' golongan yang berkaitan apabila ia kembali menjadi lokasi panas untuk melepas gian.

Mengakui perkara itu Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kegiatan menyalahi undang-undang itu tetap perlu ditangani walaupun dengan melaksana serbuan yang berterusan.

Katanya, sepanjang Januari hingga September lalu, sebanyak 367 tangkapan dilakukan membabitkan 325 kes dadah di kawasan itu.

"Ia membabitkan 16 kes dengan 26 tangkapan bagi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, enam tangkapan bagi Seksyen 39A(2) ADB, 34 tangkapan (30 kes) bagi Seksyen 39A(1) ADB, 129 tangkapan (114 kes) bagi Seksyen 12(2) ADB.

"Bagi Seksyen 15(1) (a) ADB pula 151 tangkapan dilakukan membabitkan 151 kes dan 21 tangkapan (lapan kes) bagi Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya dalam kenyataan.

Fisol berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya merampas pelbagai dadah termasuk heroin (1983.47 gram), syabu (305.59 gram), 2.8 liter kodein, ganja (390 kilogram) dan air ketum 998 liter.

Menurutnya, tahun ini lapan operasi khusus di Kuala Kedah merangkumi Op Tapis Khas SeMalaysia (tiga kali), Op Tapis Khas Kedah (tiga kali) dan Op Tapis Khas Daerah (dua kali).

"Selain itu, pelbagai program turut dilakukan di kawasan itu iaitu Program Taman Angkat Amanita di Taman Kota Nelayan, Program Rentis Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dan ceramah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan.

"Jumlah Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah PDRM adalah seramai 89 orang (masih aktif) manakala AADK seramai 137 orang," katanya.

Fisol berkata, masyarakat perlu membantu polis dalam memastikan kegiatan itu tidak bertambah serius iaitu dengan berkongsi maklumat berkaitan aktiviti penagihan dadah di kawasan itu.

Katanya, kawasan Kuala Kedah mempunyai keluasan kira-kira 30 batu persegi bersamaan 50 kilometer (km) persegi dan di bahagian laut kira-kira 46 batu nautika.

"Kami lebih menumpukan aktiviti penyalahgunaan dadah sama ada dari segi bekalan atau permintaan di seluruh negeri.

"Untuk daerah yang berisiko seperti Kota Setar (Kuala Kedah) dan Kuala Muda dan kami akan melakukan operasi secara berterusan," katanya.

Fisol berkata, selain masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau ketua masyarakat dan agensi kerajaan juga perlu membantu dalam mengekang masalah itu.

Akhbar semalam melaporkan masalah pengedaran dan penagihan dadah di beberapa kawasan di Kuala Muda membimbangkan penduduk kerana risikonya yang turut menyebabkan berlaku jenayah curi.

Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:05 AM