GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM68,852 selepas menahan 46 individu termasuk tiga warga asing menerusi Ops Tapis Khas di sekitar Ampang Jaya, antara Jumaat hingga Ahad lalu.

Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek berusia 24 hingga 60 tahun kerana disyaki menyalahgunakan dan mengedar bahan terlarang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, turut dirampas syabu seberat 1.95 kilogram (kg), heroin (37.5 gram), pil kuda (0.16 gram), air ketum (22.9 liter) dan ganja (6.02 gram).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 12(2), 30(3) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Semakan rekod untuk semua tahanan akan dibuat mengikut Seksyen 39C ADB 1952. Mana-mana penagih melakukan kesalahan berulang kali disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun, selain dikenakan hukuman sebatan tidak lebih tiga kali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk menegaskan pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras aktiviti dadah dari semasa ke semasa mengikut undang-undang.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 4:53 PM