DATUK Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Aswadi Alias
DATUK Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Aswadi Alias
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menafikan menghantar mesej kepada orang ramai mengenai modus operandi penipuan 'Sim Swap'.

Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan mesej itu yang tular di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

"Menurut mesej itu, mangsa akan menerima panggilan yang kemudian meminta mangsa menekan butang 1.

"Apabila ditekan, telefon bimbit milik mangsa akan digodam dan diambil alih oleh penjenayah seterusnya akan memindahkan semua wang daripada akaun mangsa ke akaun lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, maklumat itu adalah palsu dan JSJK tidak pernah membuat sebaran mesej sedemikian.

Katanya, tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi terbabit setakat ini.

Bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menekan mana-mana pautan yang meragukan, selain tidak menuruti sebarang arahan diterima daripada individu tidak dikenali.

"Sebarang nasihat atau pesanan awam yang dikeluarkan JSJK akan dibuat melalui saluran media cetak dan elektronik rasmi.

"Hebahan juga dibuat secara atas talian melalui portal rasmi PDRM dan JSJK," katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya penyebaran informasi itu dihentikan bagi mengelak timbul kegusaran di kalangan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi penipuan baharu, boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:11 PM