Kanak-kanak mengibar bendera Palestin. FOTO AFP
Kanak-kanak mengibar bendera Palestin. FOTO AFP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mempertahankan pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin di Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Presidennya Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menyambut baik usaha KPM sebagai tanda solidariti warga guru serta rasa kebersamaan kemanusiaan sejagat terhadap mangsa kezaliman regim Zionis Yahudi.

Katanya, i-Guru mengajak dan menggesa semua sekolah dan warga guru bersatu hati menyokong perjuangan Palestin demi satu kemerdekaan yang hakiki selepas puluhan tahun penduduk Gaza ditindas tanpa peri kemanusiaan.

"i-Guru menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Human Rights Federation (GHRF) yang menyatakan pelaksanaan minggu solidariti itu mengheret pelajar kepada isu konflik antarabangsa di lokasi sekolah.

" Ini kerana surat siaran KPM bertarikh 21 Oktober 2023 menjelaskan pelaksanaan program ini bertemakan keamanan dan kemanusiaan tanpa membabitkan unsur bersifat agresif dan ekstrim," katanya tadi.

Mohd Azizee berkata, tindakan GHRF dan 17 NGO lain boleh menimbulkan provokasi dan menggugat keharmonian dan kesatuan warga guru dan sekolah sedangkan langkah solidariti ini bertepatan dengan pendirian tegas Kerajaan Malaysia.

"Ahli Parlimen Malaysia bersatu hati menyokong perjuangan kemerdekaan Palestin. Atas dasar itu pihak i-Guru pernah mencadangkan isu Palestin diangkat sebagai satu tema penting di dalam kurikulum pendidikan sama ada melalui aktiviti ko - akademik atau kokurikulum.

"i-Guru berharap pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin ini mempamerkan wajah kemanusiaan dan semangat kebersamaan seluruh warga guru Malaysia terhadap perjuangan Palestin serta tanda kesedaran tinggi untuk menerapkan nilai-nilai kefahaman perjuangan berpaksikan prinsip agama yang benar dan manusiawi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 2:16 PM