GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mewujudkan jawatan warden khas di sekolah atau asrama selain memastikan jumlah warden mengikut bilangan pelajar.

Langkah itu dilihat penting dalam usaha membendung kegiatan buli di sekolah dan asrama yang mencetuskan kebimbangan ibu bapa.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata sudah sampai masanya pihak KPM melihat secara menyeluruh punca atau faktor insiden buli yang berlaku di sekolah atau asrama.

Katanya, langkah pencegahan perlu diutamakan dan sebagai warga negara, semua terikat dengan akta dan perundangan.

"I-Guru berpendapat sudah tiba masanya perjawatan warden khas diwujudkan dengan nisbah satu warden untuk 50 murid," katanya tadi.

Beliau mengulas mengenai laporan media berhubung seorang pelajar sebuah sekolah berasrama dipukul dan dibuli enam pelajar lain di Kuala Kangsar, Perak.

Mohd Azizee berkata, pihak pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan segera sekiranya terdapat unsur buli dalam kalangan pelajar bagi mengelak tercetusnya kejadian lebih buruk termasuk kecederaan parah dan kehilangan nyawa.

Beliau berkata, adalah malang jika ada pihak yang mengambil mudah atau menyembunyikan sebarang kes buli.

Menurutnya, sekolah perlu menjadi tempat yang selamat untuk pelajar menuntut ilmu dan membina modal insan yang cemerlang.

"Pelajar seharusnya merasakan diri dan emosi mereka selamat apabila berada di sekolah dan asrama.

"Kegiatan buli yang berlaku di sekolah atau institusi pendidikan bukan sahaja akan mencetuskan rasa kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka malah menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi itu.

"Semua pihak seharusnya tidak menyembunyikan sebarang kes buli atau berunsurkan buli dan perlu segera mengambil tindakan bagi membendung kes berkenaan menjadi parah," katanya.

Menurut beliau, ibu bapa sentiasa bimbang terhadap keselamatan anak mereka kerana kes buli boleh beri impak yang teruk jika tidak dibendung.

Katanya, pihaknya mencadangkan agar aspek kerohanian dan pendidikan agama diberi penekanan sebagai asas pengukuhan jati diri pelajar.

"Seharusnya tiada kompromi dalam hal ini kerana ia boleh menyebabkan mangsa terdedah kepada kecederaan fizikal dan kematian, justeru buli adalah satu jenayah yang wajib dibenteras terutama di sekolah dan asrama," katanya.

Keterangan gambar

SEREMBAN 11 DISEMBER 2021. MOHD AZIZEE, Presiden i-Guru. Foto Mohd Amin Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 5:41 PM