Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Persatuan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa ibu bapa bertanggungjawab dalam memaklumkan terus kepada pihak sekolah jika berlaku sebarang penularan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga mahupun di tempat kerja.

Ia susulan berlaku peningkatan kluster institusi pendidikan kepada 41 kluster dalam tempoh tiga bulan bermula Januari 2021 hingga Mac 2021 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, kerjasama rapat ibu bapa dan guru dalam perkongsian maklumat mampu membendung penularan jangkitan wabak itu.

"Berdasarkan laporan KKM, iGuru menggesa semua pihak terutama guru khususnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhi manual pengoperasian pembukaan sekolah yang ditetapkan.

"Ibu bapa dan murid-murid juga perlu sama-sama bertanggungjawab mematuhi SOP yang ditetapkan KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, bagi membantu mengekang peningkatan kluster Covid-19, pihaknya berharap warga pendidik turut diutamakan dalam pemberian vaksin.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Katanya, pemberian awal vaksin Covid-19 seharusnya tidak terhad kepada guru yang berisiko dan berusia tetapi kepada semua warga pendidik kerana mereka juga adalah petugas barisan hadapan dalan pendidikan.

"Dalam isu ini, i-Guru menyokong supaya warga guru diutamakan untuk suntikan vaksin, termasuk juga staf sokongan sekolah.

"Suntikan ini juga seharusnya diperluaskan kepada sekolah swasta, sekolah agama rakyat dan tahfiz," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga yakin KPM sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku dan mampu mengatasi perkara ini.

Terdahulu, KKM melaporkan terdapat 41 kluster Covid-19 institusi pendidikan daripada 1 Januari 2021 sehingga 25 Mac 2021.

Daripada jumlah tersebut, terdapat 15 kluster pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster pra-sekolah dan sekolah rendah, serta lima kluster yang melibatkan pusat tahfiz dan madrasah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:26 PM