BEBERAPA tangkap layar di laman sosial yang menghina guru. FOTO ihsan i-Guru
BEBERAPA tangkap layar di laman sosial yang menghina guru. FOTO ihsan i-Guru
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyangkal tuduhan guru makan gaji buta susulan penutupan sekolah bagi mengawal penularan Covid-19.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, guru selaku penjawat awam terikat dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari semasa ke semasa, justeru, tidak timbul soal makan gaji buta.

"i-Guru kesal dengan tuduhan di media sosial. Ia seperti menghina warga pendidik malah boleh merosakkan hubungan sesama rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan individu yang melempar tuduhan sebegitu mungkin kerana dia tidak memahami tugas dan tanggungjawab guru.

Katanya, keputusan KPM mengarahkan sekolah ditutup awal selepas mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi keselamatan murid dan guru.

"Guru tetap bekerja dari rumah menjalankan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Ini berdasarkan surat pekeliling bertarikh 2 Oktober 2020, pihak KPM sudah menyediakan manual PdPR itu," katanya.

Mohd Azizee berkata, apa yang penting guru perlu merancang pengajaran menggunakan apa cara sekali pun demi memastikan proses pengajaran berjalan dengan baik.

"i-Guru menasihatkan segelintir warganet agar berhati-hati menulis komen. Jangan menghina dan mengutuk warga guru tanpa sebarang asas," katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa tangkap layar yang diterima pihak i-Guru berhubung tuduhan tidak bertanggungjawab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 12:50 PM