GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Guru dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini wajar diberikan keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi membolehkan mereka hadir ke sekolah secara bersemuka.

Pandangan itu diberikan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, supaya persiapan menghadapi peperiksaan itu tidak terjejas.

"Kami berharap keutamaan dapat diberikan kepada semua calon SPM 2021 dan guru yang mengajar kumpulan ini," katanya, hari ini.

Beliau berkata, i-Guru juga mencadangkan supaya Tabung Dana Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) diwujudkan bagi kegunaan guru dan murid untuk tujuan pembelian peralatan teknologi, alat peranti dan data Internet.

"Sumbangan guru minimum RM10 sebulan melalui potongan gaji dapat menyelamatkan pelajar daripada tercicir.

"Kami yakin tabung ini boleh dijadikan inisiatif tambahan untuk membantu kerajaan dalam memastikan hasrat mengagihkan 150,000 peranti kepada murid dari keluarga B40, dapat dicapai," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) diharap dapat meningkatkan kualiti program Didik TV dari sudut penyiaran, dan isi kandungan agar lebih interaktif dan efektif.

Menurutnya, kepakaran guru sedia ada melalui pengalaman PdPR 1.0 dan 2.0 perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk dikongsi bersama warga guru lain bagi meningkatkan kompetensi guru.

Mohd Azizee berkata, KPM wajar memberikan insentif khas kepada guru atas usaha keras mereka untuk tujuan melancarkan sesi PdPR berkenaan.

"Latihan intensif dan berterusan kepada warga guru berkaitan cybergogy, peeragogy dan heutagogy penting untuk berdepan cabaran pendidikan milenium.

"Langkah proaktif dan kreatif pihak KPM diharap dapat membantu guru dan pelajar demi kelangsungan masa depan pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 11:29 AM