PESERTA pendakian kalangan guru dan pelajar gembira selepas berjaya menawan puncak dalam aktiviti Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022,. FOTO ihsan Mohd Azizee Hasan
PESERTA pendakian kalangan guru dan pelajar gembira selepas berjaya menawan puncak dalam aktiviti Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022,. FOTO ihsan Mohd Azizee Hasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seramai 459 individu terdiri daripada guru, siswa jurusan pendidikan dan pelajar sekolah berjaya menawan 11 puncak gunung dan bukit secara berasingan di seluruh negara dalam Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022, semalam.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, pendakian secara serentak itu membabitkan gunung dan bukit antaranya Bukit Suling, Pulau Pinang; Bukit Semanggol, Perak; Shah Alam Backyard Trail, Selangor; Bukit Kiara, Kuala Lumpur; Gunung Datuk, Melaka dan Bukit Batu Putih, Negeri Sembilan.

"Manakala terdapat dua bukit lagi ditawan pada Sabtu dan Ahad lalu iaitu Bukit Kechubung, Kedah dan Bukit Tunggal, Perak.

"Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan di lokasi adalah kibaran Jalur Gemilang serta laungan kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata, program pendakian itu dibuat sebagai simbolik kesungguhan warga guru mengangkat dunia pendidikan bagi mengukuhkan makna kemerdekaan negara.

"Ia adalah program yang julung kali diadakan bertujuan untuk mengajak warga guru dan pelajar bagi menghargai nikmat kemerdekaan negara di samping kesedaran terhadap kepentingan menjaga kecergasan fizikal," katanya.

Mohd Azizee berkata, pihaknya merancang menjadikan aktiviti itu sebagai acara tahunan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan pada masa depan dengan pembabitan lebih ramai peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 1:15 PM