MUHAMAD Faez (kanan) bersama Ruzaini (kiri) menunjukkan pokok kelapa yang dirosakkan gajah liar. FOTO Paya Linda Yahya
MUHAMAD Faez (kanan) bersama Ruzaini (kiri) menunjukkan pokok kelapa yang dirosakkan gajah liar. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Kemunculan seekor gajah liar di kawasan Perumahan MGH, di sini, hari ini, mengejutkan lebih 50 keluarga.

Pada kejadian jam 4.30 pagi, kemunculan gajah liar itu sempat dirakam penduduk, Muhamad Faez Azmi, 28, daripada beranda rumahnya.

Menceritakan kejadian, Muhamad Faez berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi gajah liar terbabit di depan rumahnya.

"Saya terus keluar ke beranda untuk melihat apa yang berlaku. Ketika itu, saya dapati gajah terbabit sudah berada di hadapan rumah dengan membawa sebiji kelapa.

"Saya hanya mendiamkan diri kerana ketakutan. Selepas gajah itu berlalu pergi, saya terus merakam video haiwan terbabit.

"Saya anggarkan, gajah terbabit berketinggian kira-kira tiga meter dan mungkin ia tersesat atau sedang mencari makanan," katanya ditemui.

Menurut Ruzaini Bakar, 51, ini kali pertama gajah liar muncul di kawasan perumahan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, kemunculan gajah liar terbabit mengejutkan penduduk di perumahan itu kerana kawasan berkenaan terletak di bandar Gua Musang.

"Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) datang pagi tadi dan meninjau sekitar kawasan perumahan ini.

"Kami bimbang jika gajah liar ini muncul kembali dan mengganggu penduduk. Kami harap tindakan segera dapat diambil oleh Perhilitan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani, mengesahkan menerima aduan berkaitan kemunculan gajah terbabit.

"Kami sudah melakukan pemeriksaan dan tindakan susulan juga sedang diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 12:55 PM