Pegawai Perhilitan melakukan siasatan dan rondaan di lokasi kejadian serangan gajah di ladang getah di Aring 8, Gua Musang, Kelantan
Pegawai Perhilitan melakukan siasatan dan rondaan di lokasi kejadian serangan gajah di ladang getah di Aring 8, Gua Musang, Kelantan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Paya Linda Yahya


Kuala Lumpur: Amukan gajah liar berulang apabila seorang wanita patah tulang rusuk apabila disondol mamalia seberat lebih 1 tan berkenaan.

Dalam kes terbaru dilaporkan, gajah liar berkenaan dikatakan menyerang hendap mangsa berhampiran ladang getah di Aring 8, Gua Musang, Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kes serangan gajah liar (Elephas maximus) itu dilaporkan berlaku jam 8 pagi, Jumaat lalu.

Bagaimanapun menurutnya, kes itu hanya dilaporkan kepada Perhilitan oleh pekerja ladang getah itu pada pagi kelmarin,.

"Mangsa serangan membabitkan pasangan suami isteri warga Myanmar masing-masing berusia 42 dan 45 tahun.

"Berdasarkan maklumat, kejadian berlaku ketika pasangan itu sedang menoreh getah sekitar jam 8 pagi," katanya.

Beliau berkata, mangsa lelaki mendakwa ternampak seekor gajah liar di seberang jalan berada berdekatan dengan isterinya pada jarak kurang 10 meter.

"Wanita terbabit kemudian cuba melarikan diri namun dikejar dan diserang gajah liar itu.

"Suami mangsa kemudian cuba menghalau gajah berkenaan dengan membuat bunyi bising sebelum gajah liar itu melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

"Mangsa dan suami kemudian mendapatkan pertolongan daripada pihak pengurusan ladang," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Berdasarkan laporan diterima, mangsa wanita itu mengalami kecederaan pada tubuh termasuk patah tulang rusuk akibat di sondol gajah liar itu.

"Mangsa masih lagi dirawat di Hospital Gua Musang berikutan turut mengalami kesukaran untuk bernafas," katanya.

Kadir berkata, susulan kejadian itu kakitangan Perhilitan bertindak melakukan siasatan di lokasi kejadian.

"Pihak kami menemui kesan tapak kaki gajah. Rondaan dijalankan pihak Perhilitan tidak menemui gajah liar berkenaan.

"Pihak kami turut memberikan khidmat nasihat dan menyaran kan supaya pekerja ladang membuat kerja secara berkumpulan bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, seorang lelaki warga Indonesia maut diserang seekor gajah liar di kawasan ladang getah Upayapadu Plantation Berhad, Sungai Bayu, Gua Musang, di sini.

Mangsa, Sandra Kirana Sinaga, 39, yang bekerja di ladang itu dijumpai terbaring tidak sedarkan diri sekitar jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 12:51 PM