AZAM ditemui pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC). FOTO Amiruddin Shahib
AZAM ditemui pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC). FOTO Amiruddin Shahib
Raja Noraina Raja Rahim dan Nur Elysa Amirah Suhaimi

Kuala Lumpur: Dua kes berjaya dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia membabitkan kes penyelenggaraan luar pesisir pada pada 2021 dan kes membabitkan sebuah syarikat perdagangan pada April tahun ini.

Beliau berkata, SPRM tidak mensasarkan organisasi semata-mata tetapi juga individu termasuk ahli lembaga pengarah dan mereka yang bertanggungjawab dalam organisasi itu.

"Pengarah, pengawal, pegawai, rakan kongsi atau individu yang berkaitan dengan pengurusan sesuatu organisasi boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi melainkan mereka boleh membuktikan mereka tidak bersalah.

"Ini menunjukkan dedikasi kami dalam menegakkan undang-undang dan komitmen tidak berbelah bahagi untuk memerangi rasuah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai peruntukan Seksyen 36 Akta SPRM 2009, Azam berkata, ia dilihat efektif bagi pihaknya mendapatkan maklumat berkaitan sumber pemilikan harta terutama membabitkan penjawat awam.

"Kita akan lihat kepada deklarasi dan sekiranya deklarasi itu bercanggah dengan apa yang disiasat, maksudnya seseorang itu boleh dituduh kerana membuat kenyataan tidak benar.

"Keduanya, sekiranya individu itu adalah penjawat awam dan didapati mempunyai harta berlebihan daripada kemampuan, jadi ia satu kesalahan mengikut Seksyen 36(3) yang mana mereka perlu jelaskan punca kekayaan diperoleh," katanya.

Terdahulu, aktivis memerangi rasuah dan pakar undang-undang menyarankan kerajaan segera melaksanakan beberapa pembaharuan, khususnya mempercepatkan penggubalan akta berkaitan pembiayaan dana politik dan pengisytiharan harta bagi menangani jenayah pengubahan wang haram di Malaysia.

Seksyen 36 Akta SPRM 2009 juga mesti diperkukuh, selain diwujudkan pemantauan dan kawalan ke atas urus niaga mata wang kripto.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 1:11 PM