DATUK Dr Radzi Jidin (kiri) dan Tan Sri Azam Baki. FOTO Arkib NSTP
DATUK Dr Radzi Jidin (kiri) dan Tan Sri Azam Baki. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim dan Nur Elysa Amirah Suhaili


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan belum memanggil bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung projek membabitkan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes itu masih dijalankan.

"Kita (SPRM) belum panggil (Dr Radzi) lagi. Siasatan masih dijalankan.

"Saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk jalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ABAC Center of Excellence Sdn Bhd dan Kumpulan CRI, Zafar Anjum dan Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik bekas menteri itu bagi membantu siasatan berhubung projek berkenaan.

Sumber dilaporkan berkata, suspek pertama berusia lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik manakala suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.

Katanya, mereka dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, ditanya sama ada SPRM terbabit siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan, Azam berkata, pihaknya tidak terbabit setakat ini.

"Ia adalah tindakan daripada pihak polis. Siasatan bukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009," katanya.

Pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar Datuk bersama isteri dan anak lelaki ditahan polis bagi siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Semalam, seorang lagi individu iaitu pemegang saham i-serve ditahan polis selepas disyaki terbabit kes sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini 12 kenderaan daripada dua suspek, dokumen berkaitan syarikat, barang kemas (10), beg tangan mewah (lapan), jam tangan mewah (enam), komputer riba (dua) dan satu CPU sudah dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 11:49 AM