Azam Baki hadir pada Program Forum Tanggungjawab Korporat : Adakah Anda Berisiko? hari ini. FOTO BERNAMA
Azam Baki hadir pada Program Forum Tanggungjawab Korporat : Adakah Anda Berisiko? hari ini. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menetapkan nilai ambang standard bagi projek besar yang membabitkan organisasi komersial, sekali gus membolehkan syarikat itu didakwa jika mengamalkan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, penetapan itu susulan pelaksanaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 bermula 1 Jun lalu, tetapi hanya membabitkan projek dan jumlah besar berdasarkan amalan dipraktikkan negara luar seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Amalan negara itu kini menjadi rujukan Malaysia.

"Secara umumnya, syarikat yang kita fokuskan adalah syarikat besar saja, bukan syarikat kecil kerana kita mahu wujudkan satu persekitaran yang bersih apabila syarikat ini membida sebarang projek daripada mana-mana pihak terutama kerajaan.

"Jadi, kita melihat kepada nilai ambang yang besar, bukan yang kecil," katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada forum Liabiliti Korporat: Adakah anda berisiko? di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan.

Azam berkata, ketika ini belum ada mana-mana syarikat disiasat di bawah peruntukan itu selepas tiga bulan pelaksanaannya.

"Semua perlu faham, bukan mudah untuk membuka kertas siasatan. Banyak analisis dan kerja lapangan yang perlu dilakukan kerana berdasarkan pengalaman negara yang melaksanakannya, ia mesti membabitkan projek yang besar dan jumlah yang banyak.

"Jika tidak, kita akan menggunakan peruntukan yang biasa digunakan di bawah Akta SPRM 2009 dan undang-undang lain, yang mana ia membabitkan individu atau sekumpulan orang yang terbabit dalam rasuah," katanya.

Menurutnya lagi, organisasi seperti syarikat yang disenarai awam atau syarikat yang terbabit dalam projek bernilai tinggi perlu memastikan mereka melakukan prosedur mencukupi bagi membanteras rasuah dalam organisasi.

Katanya, bukan sahaja pekerja yang boleh dituduh rasuah, tetapi boleh menyebabkan pengurusan tertinggi syarikat seperti pengarah dan ketua pegawai eksekutif (CEO) bertanggungjawab jika terdapat bukti mereka terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:07 PM