PERHIMPUNAN untuk Palestin semalam.
PERHIMPUNAN untuk Palestin semalam.
Oleh Amir Mamat


Ayer Keroh: Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan tindakan penganjur 'Freedom With Palestine', semalam, yang didakwa melarang peserta perhimpunan melaungkan takbir.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Jasin berkata, pihak penganjur tiada hak untuk menghalang mana-mana pihak untuk melaungkan kalimah berkenaan memandangkan Malaysia adalah negara Islam.

"Kalau nak bertakbir pun tak boleh, saya cadangkan penganjur perhimpunan untuk rakyat Palestin ini buat himpunan di pejabat NGO (badan bukan kerajaan) mereka sendiri dan (buat) sesama mereka sahaja.

"Ini negara Malaysia, Islam adalah agama Persekutuan. Siapa anda mahu menghalang takbir dilaungkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan peserta perhimpunan 'Freedom With Palestine' anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur kecewa dan kesal dengan sikap penganjur yang didakwa melarang mereka melaungkan kalimah takbir.

Malah, ada yang mendakwa peserta dilarang membawa sepanduk tertentu memaparkan wajah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Justeru, beberapa pihak mengecam tindakan penganjur berkenaan dan menganggap ia sebagai tidak wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 5:13 PM