Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Larangan mengecam Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan melaungkan takbir oleh penganjur 'Freedom With Palestine' dalam himpunan Ahad lalu bukan merupakan pendirian kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendirian kerajaan pada hari ini adalah jelas dengan mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin.

"Hakikat bahawa kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan sendiri kita menidakkan sokongan (kepada Israel).

"Tetapi kalau himpunan yang dihadiri oleh 300 hingga 400 orang itu yang dianjur oleh satu pertubuhan, kemudiannya dikatakan mengatakan apa-apa sekatan boleh atau tidak boleh itu harus dilihat secara fakta kejadian pada masa itu.

"Ia (apa yang dinyatakan penganjur pada masa itu) tidak mencerminkan pendirian sepenuhnya kerajaan hari ini dan sebahagian besar umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai isu larangan mengecam Netanyahu dan laungan takbir oleh penganjur 'Freedom With Palestine'.

Semalam, penganjur himpunan berkenaan yang juga Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin tampil memohon maaf kepada semua pihak ekoran penganjuran himpunan aman itu yang tidak menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak.

Dr Musa dipetik berkata, beliau amat memahami terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara penganjuran perhimpunan berkenaan.

Kelmarin, peserta himpunan berkenaan mengecam tindakan penganjur yang didakwa melarang mereka melaungkan takbir selain meminta menurunkan sepanduk yang memaparkan imej kecaman kepada Netanyahu.

Menjawab soalan tambahan oleh Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai kesediaan kerajaan untuk menurunkan pemakluman Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada lima hari kepada 48 jam susulan himpunan yang dianjurkan mengenai isu Palestin, beliau berkata:

"Adakah pihak polis bersedia mengurangkan daripada lima hari kepada 48 jam?

"Saya percaya pimpinan polis pada hari ini mereka akan gunakan kuasa budi bicara yang sesuai dengan keadaan semasa sekarang yang mungkin diamalkan mengikut kes (dan) tidak sepanjang masa.

"Sekarang ini permohonan untuk mengadakan himpunan solidariti ini berlangsung dengan begitu banyak sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 11:26 AM
SUASANA di Dataran Merdeka pada Perhimpunan Solidariti Freedom For Palestine anjuran MyCARE dan Viva Palestina Malaysia, baru-baru ini. FOTO Bernama
SUASANA di Dataran Merdeka pada Perhimpunan Solidariti Freedom For Palestine anjuran MyCARE dan Viva Palestina Malaysia, baru-baru ini. FOTO Bernama