Nurul Izzah
Nurul Izzah
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama bagi menentang kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Nurul Izzah berkata, rakyat Malaysia tidak boleh berdiam dan perlu menyebarkan sokongan dengan kata-kata kerana apa yang berlaku bukan hanya memberi kesan kepada Muslim tetapi semua warga Palestin.

"Kita tidak dapat nafikan fakta berlakunya pembunuhan beramai-ramai oleh Israel, jadi rakyat Malaysia perlu bersatu.

"Kita tidak boleh berdiam diri kerana isunya bukan hanya memberi kesan kepada Muslim malah ada juga gereja turut dibom Israel.

"Mereka (Israel) juga mengebom kem pelarian dan hospital maka penting untuk bersatu kerana ramai yang tidak berdosa terbunuh.

"Apa kita perlu lakukan adalah sebarkan kata-kata (zahirkan sokongan)," katanya ketika ditemui selepas himpunan Freedom For Palestine di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nurul Izzah turut berucap di hadapan lebih 5,000 yang hadir ke himpunan anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MYCare selain mengajak semua melaungkan 'Free Palestin' juga takbir.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, sebagai negara yang cintakan keadilan, rakyat Malaysia perlu bersuara secara satu untuk menolak jenayah perang dilakukan Israel dan meminta gencatan senjata.

"Kita melihat Gaza dan Tebing Barat yang tiada kena mengena di peringkat awal, mengikuti segala arahan oleh Israel, mereka juga ditindas, anak kecil dan tidak bersalah dibunuh.

"Terima kasih juga kepada pihak media yang bersama dalam hasrat ini.

"Sudah tentu kerajaan mengusahakan, kita dengar kenyataan Wisma Putra dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) namun apa yang penting adalah suara moral membanteras kekejaman Zionis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 3:54 PM