Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Ibu negara berubah wajah hari ini apabila ribuan penduduk pelbagai lapisan berkumpul dan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini sambil mengibarkan bendera Palestin.

Laungan takbir, zikir dan kecaman terhadap kekejaman rejim zionis mengiringi perarakan itu.

Hujan di sekitar ibu negara bermula 2.20 petang nyata tidak menghalang peserta perhimpunan untuk terus berarak dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin, meskipun peserta membawa bersama kanak-kanak dan warga emas.

LEBIH 5,000 orang berhimpun dan berarak bagi menunjukkan solidariti terhadap Palestin di Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah.
LEBIH 5,000 orang berhimpun dan berarak bagi menunjukkan solidariti terhadap Palestin di Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah.

Perarakan sejauh lebih satu kilometer (km) yang dihadiri lebih 5,000 peserta mula berarak dari pekarangan Masjid As-Syakirin KLCC pada 1.45 petang sebelum dihalang, kira-kira 550 meter dari kedutaan terbabit.

Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, lebih 5,000 individu membawa bendera Malaysia serta Palestin menyertai Himpunan 'Freedom For Palestine' di Dataran Merdeka, di sini.

Susulan itu, orang ramai mula membanjiri Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin dalam satu lagi perhimpunan.

UMAT Islam berkumpul secara aman bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin di perkarangan Masjid Asy-Syakirin KLCC. FOTO Asyraf Hamzah.
UMAT Islam berkumpul secara aman bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin di perkarangan Masjid Asy-Syakirin KLCC. FOTO Asyraf Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 3:39 PM