SHAHUL. FOTO Arkib NSTP
SHAHUL. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Dawood, Isnin depan berhubung siasatan isu pengurusan dana latihan dan keberkesanan program latihan di bawah agensi itu.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC menggunakan Peraturan Mesyuarat 77 (1) (d), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk memulakan prosiding siasatan isu terbabit.

Menurutnya, ia berikutan isu berkenaan tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

"Untuk itu, PAC memanggil saksi untuk melaksanakan prosiding ini termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Datuk Amran Ahmad dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood," katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, PAC akan membentangkan laporan terperinci pengurusan wabak Covid-19 pada 30 Oktober ini.

"PAC sudah selesai mengadakan Mesyuarat Penyediaan Laporan (Housekeeping) berhubung Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Personal Protective Equipment (PPE) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 16 dan 17 Oktober lalu.

"Isu ini dilaporkan dalam LKAN Tahun 2021 Siri 2, AktivitiKementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-badan Berkanun.

"Malah, isu ini turut didebatkan ramai Ahli Dewan Rakyat ketika membahaskan LKAN semasa Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen ke-15 pada 6 Jun lalu.

"PAC sudah mengadakan lima prosiding pada 15 Jun, 22 Ogos, 14 September dan 21 September lalu dengan memanggil saksi berkaitan dan dijangka membentangkan laporan ini pada 30 Oktober ini," katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, prosiding berhubung Menteri Kewangan (Diperbadankan), Felcra Berhad yang sepatutnya diadakan semalam, ditangguhkan memandangkan Pengarah Pengurusan WZR Property Sdn Bhd Datuk Wan Nadzir Wan Mohamad tidak dapat hadir kerana beliau berada di luar negara ketika ini.

"Untuk berlaku adil kepada beliau dan syarikat, PAC memerlukan keterangan dan penjelasannya memandangkan beliau terbabit dengan perkara yang ingin disiasat PAC.

"Jadi, saya mohon saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan terhadap isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 3:02 PM