Mas Ermieyati Samsudin bercakap pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mas Ermieyati Samsudin bercakap pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memohon kerajaan memasukkan peranan dan tanggungjawab jawatankuasa itu dalam pindaan Akta Audit 1957 yang dilakukan tahun depan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia susulan pemakluman dibuat Ketua Audit Negara bahawa kerajaan bercadang untuk meminda akta itu.

Beliau berkata, permintaan itu dibuat supauya PAC dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih mantap dan berkesan.

"Itu yang kita minta untuk ada. Maksudnya ada peranan PAC dimasukkan (dalam pindaan Akta Audit 1957).

"Saya percaya dengan adanya sesi libat urus ini daripada masa ke masa boleh kita bincangkan yang terbaik untuk jalinan kerjasama di masa hadapan sebabnya ia penting untuk kita melihat kuasa dan tanggungjawab PAC bagi melaksanakan tugas dengan lebih mantap serta berkesan," katanya pada sidang medianya di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, bagi prosiding isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, pihaknya akan memberikan tumpuan kepada tajuk yang dikenal pasti mempunyai unsur 3P iaitu penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pembaziran serta 1K iaitu kecuaian.

Katanya, disebabkan itu, PAC telah membuat keputusan untuk memanggil Kementerian Kewangan bagi memberikan penjelasan berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Khamis depan.

"PAC akan memaklumkan dari semasa ke semasa bagi tajuk lain untuk prosiding," katanya.

Beliau juga mengucapkan penghargaannya kepada Jabatan Audit Negara (JAN) membangkitkan isu dalam LKAN yang dikenal pasti mempunyai aspek ketidakpatuhan terhadap prosedur, tatacara serta tatakelola kerajaan.

"Semoga jalinan kerjasama dan persefahaman baik di antara PAC dan JAN dapat diteruskan dalam memastikan perbelanjaan dan kewangan kerajaan digunakan secara berhemah dan memberikan pulangan terbaik kepada rakyat dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 3:12 PM