MAS Ermieyati (tengah) mengadakan sidang media ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
MAS Ermieyati (tengah) mengadakan sidang media ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, Khamis hadapan berhubung Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, wakil Kementerian Kewangan di dalam HRD Corp juga akan dipanggil pada Rabu.

"Keputusan memanggil kedua-dua saksi ini adalah disebabkan nama mereka disebut dalam prosiding pertama dan untuk berlaku adil kepada mereka.

"Sehubungan itu, saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan berhubung perkara ini," katanya pada sidang medianya di Pusat Media Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, prosiding berhubung Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program HRD Corp itu telah bermula pada 23 Oktober dengan memanggil Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amran Ahmad dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

"Berikutan isu ini tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara

(LKAN), PAC menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat

(PM) 77 (1) (d), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat

(PPMMDR), PM 83 (2) PPMMDR, Arahan Perbendaharaan 301 Tahun 2023

dan Seksyen III Perkara 11 (b) Pekeliling Am No. 2 (1982) untuk

mengadakan prosiding ini.

"Hasil daripada prosiding pertama yang diadakan, PAC memutuskan bahawa dua lagi prosiding berhubung Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp diadakan iaitu pada 1 dan 2 November 2023," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan sebuah portal berita pada Selasa lalu yang memaparkan artikel dengan menggunakan sumber yang tak disahkan.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa semua prosiding PAC tertakluk di bawah Peraturan 85 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan maklumat yang diperolehi adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88)," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, PAC sedang memuktamadkan laporan berhubung kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) bagi tempoh Jun hingga September 2023.

"PAC kini dalam proses penyediaan laporan berhubung isu ini dan kita

jangkakan laporan ini akan dapat dibentangkan dalam mesyuarat kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 1:52 PM