Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Malaysia akan menyalurkan bantuan RM100 juta bantuan kemanusiaan kepada Palestin, dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah bantuan berkenaan akan disalurkan khusus kepada tabung kemanusiaan dan perubatan untuk rakyat Gaza.

"Saya telah umumkan bantuan RM10 juta dan insya-Allah Khamis ini sebelum saya berangkat ke Arab Saudi, lengkap terkumpul RM100 juta (tambahan daripada GLC) akan disalurkan khusus ke Gaza untuk tabung kemanusiaan dan perubatan.

"(tapi) masalahnya dalam perbincangan kita dengan beberapa negara termasuk Turkiye dan maklumat Mesir, Israel enggan membuka sempadan.

"Tiga pesawat Turkiye sudah sampai pelabuhan sempadan Gaza tetapi sempadan Rafah-Gaza tidak dibuka.

"Beberapa negara lain Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar juga mengirim bantuan perubatan makanan tetapi tersangkut (kerana) kerajaan pemerintah zalim Israel menghalang pembukaannya maka dimaklumkan kepada Mesir sekiranya dibuka akan dipaksa rakyat Palestin keluar menyeberang Gaza," katanya di berkongsikan perkembangan dan pendirian Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam keadaan genting dengan angka korban dan cedera semakin meningkat serta pelbagai sumber terputus, bantuan kemanusiaan harus segera digerakkan.

"Satu saya kata hipokrit kerana Amerika Syarikat dan Barat sampai tak boleh menyatakan persetujuan untuk berikan makanan minuman kepada orang yang cedera parah dan kehilangan semuanya serta beberapa kawasan Gaza hilang keperluan minuman air bersih dan makanan.

"Saya telah beri mandat penuh kepada Menteri Luar untuk bincang dan ambil segala keputusan apa saja yang mungkin untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan dan apa juga tindakan disepakati negara jiran supaya dapat dilaksanakan tindakan lebih berkesan.

"Peringkat pertama ini, Menteri Luar akan mewakili kita untuk menyampaikan pandangan kita dengan satu matlamat iaitu menyelamat keadaan sekarang dan keduanya mengambil langkah perlu.

"Saya akan susuli di Riyadh dan sekiranya perlu saya akan bantu rakan di sana untuk membantu mereka mencari penyelesaian baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 2:41 PM