PENDUDUK Palestin berkumpul berhampiran bangunan yang rosak susulan serangan udara Israel. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin berkumpul berhampiran bangunan yang rosak susulan serangan udara Israel. FOTO Reuters
Agensi

Washington: Amerika Syarikat (AS) dan Israel bersetuju pada Selasa bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh menjalankan misi penilaian di utara Gaza untuk menentukan apa yang perlu dilakukan supaya penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal boleh pulang ke tanah air, lapor Agensi Anadolu.

"Ia akan menentukan apa yang perlu dilakukan untuk membolehkan rakyat Palestin yang dipindahkan pulang dengan selamat ke rumah di utara," kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken kepada pemberita pada sidang media di Tel Aviv, selepas bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

"Ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Terdapat cabaran keselamatan, infrastruktur dan kemanusiaan yang serius, tetapi misi akan memulakan proses menilai halangan ini, dan bagaimana ia boleh diatasi," kata Blinken.

Beliau menyatakan bahawa AS terus menawarkan nasihat terbaiknya untuk bagaimana Israel boleh mencapai matlamat pentingnya dalam memastikan bahawa insiden 7 Oktober tidak boleh berulang.

"Kami percaya Israel sudah mencapai kemajuan yang ketara ke arah objektif asas ini apabila kempen Israel bergerak ke fasa intensiti yang lebih rendah di utara Gaza, dan ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengurangkan pasukannya di sana," katanya.

Blinken mengadakan panggilan telefon dengan Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Gaza, Sigrid Kaag, pada lewat Isnin dan menggariskan usaha untuk memudahkan penghantaran bantuan ke utara Semenanjung Gaza.

Blinken sedang dalam lawatan rasmi ke rantau ini sehingga 11 Januari dengan persinggahan termasuk Turkiye, Greece, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Israel, Tebing Barat dan Mesir.

Lawatan beliau itu dilakukan ketika tentera Israel melancarkan perang yang dahsyat ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu yang mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya 23,084 rakyat Palestin dan mencederakan 58,926 yang lain.

Pihak berkuasa Israel mendakwa serangan oleh Hamas pada awal Oktober membunuh kira-kira 1,200 orang Israel.

Serangan Israel menyebabkan Gaza hancur, dengan 60 peratus infrastruktur enklaf itu rosak atau musnah.

Hampir dua juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan berdepan kekurangan makanan, air bersih dan ubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 3:10 PM