KESAN serangan tentera Israel di Kem Pelarian Jabalia. FOTO Reuters
KESAN serangan tentera Israel di Kem Pelarian Jabalia. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Kereta kebal Israel mengepung Hospital Indonesia di Gaza, selepas serangan berterusan sejak awal hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, keadaan di Hospital Indonesia kini seperti dilanda 'malapetaka'.

"Kami bimbang tentera Israel akan mengulangi apa yang mereka lakukan di Hospital al-Shifa," katanya.

Tindakan tentera Israel memperhebatkan serangan mereka menyebabkan krisis kemanusiaan bertambah buruk di Gaza terutama Hospital Indonesia yang masih menerima banyak pesakit.

Kakitangan Hospital Indonesia menegaskan mereka akan terus tinggal di situ untuk merawat mangsa yang cedera.

Terdapat kira-kira 700 orang, termasuk kakitangan perubatan dan mangsa yang cedera, masih berada di dalam hospital.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki berkata, Israel berusaha menamatkan riwayat rakyat Palestin di tanah mereka dan melenyapkan mereka sama sekali.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang kemuncak diplomat dari negara Arab dan Islam, di Beijing, China.

Di Beijing, pemimpin Arab Saudi, Jordan, Mesir, Indonesia, Palestin dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sedang membincangkan cara menamatkan pertempuran di Gaza dan meningkatkan tekanan ke atas negara Barat bagi menghentikan kekejaman Israel.

Menurut Mesir, Israel mendesak rakyat Palestin meninggalkan Gaza bagi membolehkan mereka mengambil alih keseluruhan negara itu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Mesir, Sameh Shoukry berkata, pemindahan rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza akan mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu serta di dunia.

Katanya, dasar Israel yang menyekat kemasukan bantuan ke Gaza secara sistematik dan pengeboman besar-besaran tanpa henti bertujuan mendorong rakyat Palestin meninggalkan Gaza.

"Malangnya, pencabulan besar Israel yang melakukan jenayah perang ini tidak ditegur pihak bertanggungjawab, malah mereka 'membutakan mata'," katanya ketika pertemuan dengan Menteri Luar China di Beijing.

Beliau berkata, Mesir berusaha sedaya upaya untuk membawa bantuan ke Semenanjung Gaza melalui persimpangan Rafah.

"Namun, tindakan Israel yang menghalang kemasukan bantuan adalah dasar sistematik yang bertujuan memaksa rakyat Palestin meninggalkan Semenanjung Gaza yang kini dikepung dan dibom," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:22 AM