GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melihat Belanjawan 2024 mampu memacu ke arah menjadi sebuah negara berinovasi, berteknologi tinggi dan memperkasa ekonomi digital.

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, peruntukan kepada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) ini bukan saja akan dapat membantu memperkasa golongan usahawan untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka bahkan juga dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM25 juta bagi memperkasa PEDi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diyakini dapat meningkatkan penjanaan pendapatan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

"Ketika ini, terdapat 911 kemudahan PEDi yang beroperasi sebagai satu platform sehenti untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Selain itu, MCMC turut menyokong kerajaan dalam memperkasa fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang menambah peruntukan kepada RM20 juta bagi meningkatkan lagi fungsi NSRC membanteras jenayah penipuan dalam talian atau scam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Salim berkata, MCMC juga sentiasa mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran berhubung jenayah scam.

"Sehubungan itu, keterlibatan MCMC dalam NSRC adalah penting bagi membangunkan masyarakat berpengetahuan dalam dunia siber.

"MCMC turut mengalu-alukan peruntukan besar berjumlah RM100 juta daripada pihak kerajaan ke arah memupuk penggunaan pendigitalan dalam kalangan 20,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)," katanya.

Beliau berkata, usaha itu menandakan satu langkah ke arah meningkatkan kualiti perniagaan untuk setiap PMKS, ketika mereka memperluaskan perniagaan ke arah model perniagaan digital.

"MCMC akan terus komited untuk memastikan agenda pertumbuhan ekonomi digital negara dapat memperkasa rakyat ke arah literasi digital yang tinggi menjadi antara fokus utama selaku pengawal selia komunikasi dan multimedia negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 1:08 PM